Mungkin ramai mengandaikan gaji bulanan RM5,000 ke atas sudah cukup besar untuk menikmati kehidupan yang selesa termasuk mudah membeli rumah.
Mereka ini biasanya tergolong dalam kelompok pekerjaan profesional seperti peguam, pengurus dan pensyarah.
Rungutan atau keluhan mengimpikan kediaman sendiri lazimnya datang daripada mereka berpendapatan lingkungan RM1,500 ke bawah atau juga dikenali sebagai golongan berpendapatan rendah.
Kehidupan hari ini, bagaimanapun, menunjukkan mereka yang bergaji antara RM2,500 sehingga melangkaui RM7,000 bukanlah satu jaminan pasti untuk seseorang itu ‘mampu’ memiliki rumah.
Tidak mustahil juga golongan bergaji sederhana dalam kategori pekerjaan profesional ini akan menyewa sehinggalah akhir hayat mereka disebabkan tidak mampu membeli rumah.
Ini adalah antara kebimbangan yang disuarakan Dr. Nor Malina Malek, Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM) kepada Bernama.
Beliau turut berkongsi hasil kajiannya bertajuk “Pemilikan Rumah Dalam Kalangan Masyarakat Bandar Berpendapatan Sederhana dan Rendah di Malaysia” baru-baru ini.
PERHATIAN WAJAR
Kalau hendak diikutkan, isu perumahan terutama dalam kalangan masyarakat bandar berpendapatan sederhana dan rendah bukanlah perkara baharu.
Rumah adalah antara keperluan asas utama, sama ada bujang, baru berkahwin atau yang sudah berkeluarga.
Meskipun keperluan memiliki rumah semakin kritikal namun bagi mereka yang bergaji sederhana, impian untuk merealisasikan impian ini dilihat sukar tambahan harga rumah yang melonjak dari tahun ke tahun dan ada yang sampai tidak masuk akal.
HARGA LEBIH RM200,000
Bayangkan, nilai bagi seunit apartmen tiga bilik tidur dengan keluasan bawah 92.9 meter persegi dan dua bilik air berdekatan pusat bandar berharga lebih RM245,OOO.
Sekiranya pihak bank meluluskan pinjaman sebanyak 90 atau 100 peratus pun bagi pembiayaan pembelian rumah, ada kemungkinan semua wang gaji bulanan diperuntukkan untuk membayar pinjaman bulanan.
“Isu ini semakin kritikal terutama di kawasan bandar besar seperti Lembah Klang, Johor Baharu dan Pulau Pinang.
“Mengapa saya menyatakan golongan sederhana yang kritikal kerana 40 peratus penduduk bandar terdiri daripada mereka”, katanya yang menjalankan kajian itu bersama rakannya, Dr. Azrina Husin, pensyarah kanan di pusat pengajian sama.
MENGAPA TIDAK MAMPU?
“Berbelanja lebih dan hidup bergaya sehingga tidak mampu membeli rumah”. Itu antara isu yang dibangkitkan dalam menangani faktor kemampuan di samping hakikat harga rumah yang tinggi.
Namun, kata Nor Malina, ramai tidak menyedari atau mengkaji daripada sudut ‘pendapatan boleh guna’.
Tidak dinafikan, gaji RM7,000 nampak besar tetapi dengan pelbagai kos kehidupan hari ini yang semakin meningkat di bandar besar, keupayaan dan kemampuan mereka memiliki rumah sendiri semakin sukar.
Pada masa sama pula, mereka ini dianggap tidak layak untuk membeli rumah kos rendah berdasarkan kepada pendapatan bulanan.
Dalam kajian yang dibuat pada 2010, Nor Malina menjelaskan, syarat Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menetapkan mereka yang layak membeli rumah kos rendah adalah pendapatan isi rumah tidak melebihi RM1,500 sebulan.
Kelayakan rumah kos sederhana ialah pendapatan isi rumah tidak melebihi RM2,600 sebulan. Katanya, usaha kerajaan sebelum ini lebih tertumpu kepada usaha membantu golongan berpendapatan rendah dengan pelbagai projek perumahan kepada mereka.
“Golongan sederhana agak terpinggir. Memanglah gaji nampak hebat, RM7,000, tetapi setelah ditolak untuk perbelanjaan tetap berapakah baki yang masih tinggal untuk diperuntukkan beli rumah?
“Sebagai contoh, kos seorang anak dihantar ke pusat jagaan di bandar RM250. Kalau ada tiga orang anak, RM250 kali 3, van sekolah, seorang RM90. Ini belum perbelanjaan sekolah, bayaran pinjaman kereta, pinjaman pendidikan, tolak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan kos perbelanjaan harian.
“Setelah ditolak pelbagai kos, mungkin ‘net disposable income’ yang diperoleh jauh lebih rendah daripada RM7,000. Jadi bagaimana hendak beli rumah.
Mahu tidak mahu, terpaksalah menyewa rumah, mungkin seumur hidup”, kata Nor Malina.
HANYA MAMPU BAWAH RM150,000
Dapatan kajian Nor Malina menunjukkan majoriti golongan berpendapatan sederhana yang merangkumi 85.1 peratus daripada responden hanya mampu membeli rumah bernilai RM50,000 hingga RM200,000 sahaja.
Agak mustahil untuk memiliki rumah seumpama itu di bandar besar. Kalaupun ada, mungkin saiz keluasan rumah dan kawasan persekitaran tidak begitu selesa.
Ini jelas menunjukkan keperluan terhadap perumahan kos sederhana dan rendah dalam kalangan pekerja berpendapatan rendah dan sederhana di kawasan bandar masih lagi tinggi.
Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) ada menganggarkan purata permintaan terhadap rumah di Malaysia adalah sebanyak 150,000 unit setahun. Ini berdasarkan pertumbuhan penduduk dan pembentukan isi rumah.
Kajian yang dilakukan oleh Nor Malina pada 2010 dengan melibatkan 400 responden dari empat buah negeri, Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Baharu menunjukkan faktor penting dalam isu pemilikan rumah ialah harga.
LOKASI DEKAT
Menurut Nor Malina, lonjakan harga rumah tidak dapat dielakkan akibat peningkatan harga tanah di bandar serta kos bahan binaan.
Ia juga sedikit sebanyak berpunca daripada kadar pembandaran atau urbanisasi negara yang dijangka meningkat 75 peratus menjelang tahun 2020, susulan daripada proses penghijrahan penduduk luar bandar ke bandar.
Bagi menangani masalah ini, kerajaan, katanya, sejak tahun 2011 memberi tumpuan besar memenuhi keperluan perumahan kumpulan berpendapatan sederhana dan rendah, khususnya di bandar besar.
Antaranya, Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Program Perumahan Rakyat, Perumahan Rakyat Bersepadu, Skim Perumahan Mampu Milik Swasta atau MyHome.
Bagaimanapun, penawaran rumah kos rendah dan mampu milik yang ditawarkan ketika ini masih tidak dapat memenuhi permintaan penduduk bandar, kata Nor Malina.
Antara isu yang perlu diambil perhatian juga ialah kebanyakan rumah itu terletak jauh dari bandar dan dari tempat kerja.
Walhal, kajian menunjukkan faktor lokasi amat diambil kira dalam pemilikan rumah selepas faktor harga.
Sebanyak 27.5 peratus daripada responden mementingkan faktor geografi serta lokasi sesebuah rumah lebih signifikan berbanding faktor fizikal dan sosial rumah.
“Untuk itu, mereka sanggup menyewa kerana tidak sanggup berulang-alik jauh dari tempat kerja kerana kos minyak dan tekanan letih”, katanya.
PERLU LAKUKAN SESUATU
Nor Malina juga mengulas harga rumah PR1MA yang berada dalam lingkungan RM100,000 hingga RM400,000 yang dilihat tidak membantu golongan sederhana.
“Bayangkan, rumah harga RM200,000 ke atas pun susah hendak beli. Malahan, kajian juga mendapati hanya 15.1 peratus sahaja yang mampu membeli rumah berharga RM200,000 ke atas,” katanya.
Beliau menambah, sesuatu perlu dilakukan segera kerana ‘rumah’ antara isu sensitif yang menekan emosi warga bandar.
“Kajian menyeluruh perlu dilakukan bukan sahaja merangkumi tawaran rumah harga berpatutan dan pendapatan sahaja, tetapi paling utama mengkaji dari sudut ‘kemampuan’ dan ‘pendapatan boleh guna’.
“Jika keperluan perumahan tidak dapat dipenuhi, masyarakat akan berasa marah, tertekan serta kecewa kerana rumah adalah keperluan asas hidup dan kesejahteraan keluarga”, katanya. – BERNAMA
Gaji Besar Bukan Jaminan Miliki Rumah
Reviewed by Unknown
on
October 15, 2014
Rating:
No comments: