SIBU: Sekumpulan pekerja pembersihan tanah untuk ladang kelapa sawit gempar apabila terserempak dengan seekor ular sawa sepanjang lebih lima meter kelmarin.
Salah seorang pekerja dikenali sebagai Nia berkata, ketika itu mereka sedang membersih ladang di Selangau dan terkejut apabila terserempak dengan ular sawa yang sangat besar.
“Ketika asyik bekerja, salah seorang rakan saya tiba-tiba menjerit apabila ternampak ular sawa itu,” ujarnya kepada Utusan Borneo, semalam.
Nia yang bekerja di ladang itu bersama suaminya sebagai pemandu jengkaut menjelaskan, ular sawa itu tidak dapat bergerak akibat kekenyangan.
Melihat keadaan perut dan beratnya kira-kira 100 kilogram, difahamkan ular itu kenyang selepas membaham binatang buas.
“Kami kemudian menggunakan jengkaut untuk menangkap serta menarik ular sawa itu keluar dari dalam semak,” jelasnya yang sempat merakamkan gambar ular sawa itu menggunakan telefon bimbitnya.
Beliau menambah, ini bukan kali pertama mereka terserempak dengan reptilia itu semasa menjalankan kerja-kerja membersihkan hutan.
Namun, katanya, ini merupakan ular sawa terpanjang dan terbesar pernah mereka temui setakat ini. - UB
Guna Jengkaut Untuk Tangkap Ular Sawa Sepanjang Lima Meter
Reviewed by Salfian Nawawi
on
October 23, 2014
Rating:
No comments: