Syafie Naswip mendedahkan bahawa dia mempunyai alahan terhadap buah limau apabila mengalami situasi jantung berhenti selepas memakan buah tersebut.
Syafie atau nama sebenarnya Mohammad Syafie Naswip, 22, berkata kejadian tersebut berlaku tiga tahun lalu akibat terlalu teringin untuk memakan buah tersebut bersama garam membuatkan dia dikejarkan ke sebuah hospital.
"Saya tahu saya ada alahan terhadap makanan laut dan bila makan badan saya akan rasa panas dan gatal-gatal, namun saya tidak sangka buah limau juga menjadi alahan yang sama.
"Lebih teruk selepas saya memakan buah limau dengan garam badan saya jadi panas dan ketika dibawa ke klinik doktor beritahu jantung saya berhenti dan terus dibawa ke hospital, Alhamdulillah tidak ada apa-apa yang buruk berlaku," ujarnya kepada mStar Online.
Syafie berkata demikian ketika diminta menceritakan beberapa perkara tentangnya yang tidak diketahui umum.
Tambah Syafie, sejak kejadian tersebut, dia dinasihatkan agar tidak memakan buah tersebut bagi mengelakkan kejadian tersebut berulang.
Syafie berkata, kebiasaanya jika dia terlalu teringin untuk makan makanan laut dia akan memberitahu kepada rakan-rakannya agar bersedia untuk membawanya ke klinik berhampiran untuk mendapatkan suntikan segera.
"Kadang-kadang memang saya akan makan sahaja makanan tersebut, tetapi awal-awal saya akan beritahu pada rakan-rakan yang ada agar bawa saya ke klinik jika saya ada tanda-tanda alahan itu," ujarnya.
Selain itu, Syafie mengakui dia seorang 'kaki bangku' iaitu tidak pandai bermain bola sejak kecil lagi.
Bagaimanapun, katanya, dia sering berpura-pura pandai jika disuruh melakonkan adegan bermain bola.
"Sejak kecil saya memang kaki bangku, saya tidak campur dengan orang bermain bola di sekolah dulu, tetapi jika disuruh berlakon saya buat sahaja, walhal hakikatnya saya takut.
"Kalau ada kawan-kawan yang ajak main saya akan duduk di tepi gol sahaja untuk tunggu bola kerana saya takut diketawakan," ujarnya.
Sementara itu, pelakon ini juga mendedahkan mempunyai tabiat suka mengira duit berulang kali jika ingin membeli sesuatu barang di kedai.
Katanya, dia akan mengeluarkan duit lebih daripada nilai barang yang hendak dibelinya dan kira banyak kali sebelum benar-benar menyerahkan duit itu kepada juruwang.
"Saya suka kira duit banyak kali sebelum bayar, jika barang tersebut berharga RM500 saya akan keluarkan lebih dan sentiasa kira sehingga benar-benar buat keputusan untuk membeli barang tersebut,
"Sebelum bayar saya akan suruh kawan saya pula kira duit tersebut agar tidak berlaku kesalahan," ujarnya.
Selain itu,bercerita tentang pengalaman tidak boleh dilupakan, lelaki yang popular dengan filem Mukhsin ini juga mendedahkan pernah didenda kerana membawa seluar dalam ke sekolah.
Katanya, perkara tersebut terjadi apabila dia terlupa untuk mengeluarkan seluar dalam selepas mandi di kolam renang.
"Saya sering pergi berenang selepas waktu sekolah, jadi saya akan bawa seluar dalam lebih dan satu hari itu saya terlupa untuk keluarkan daripada beg sekolah.
"Keesokan harinya di sekolah pula ada pemeriksaan dan cikgu menganggap saya buat perkara yang tidak betul," ujarnya.-mStar
Kerana Limau, Jantung Syafie Naswip Berhenti
Reviewed by Unknown
on
October 24, 2014
Rating:
No comments: