KUALA LUMPUR: Syarikat swasta dalam industri teknologi hijau perlu bekerjasama dengan kerajaan dalam aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk membolehkan negara mengeluarkan produk kepada pasaran pada harga berpatutan.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata aspirasi itu sejajar hasrat kerajaan untuk memperkenalkan Pelan Induk Teknologi Hijau dalam tempoh terdekat ini.
Katanya, kerjasama swasta dan kerajaan penting berikutan permintaan dan kesedaran berkenaan isu itu kini semakin mendapat perhatian di peringkat domestik dan tempatan.
Produk teknologi hijau yang turut dikenali di pasaran komersial sebagai produk eko dikatakan mempunyai potensi besar di pasaran global terutama di negara maju.
"Mengikut laporan Program Alam Sekitar Bangsa Bersatu (UNEP) dan Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO) nilai permintaan global bagi produk dan perkhidmatan mesra alam mencecah RM4.4 trilion pada 2008 dan dijangka meningkat dua kali ganda menjelang 2020.
"Menerusi laporan itu, pemain industri tempatan perlu mengambil kesempatan bersama penyelidik dalam sektor ekonomi hijau menghasilkan produk komersial serta mengguna pakai teknologi lebih mesra alam dalam operasi penghasilannya," katanya berucap melancarkan Pameran dan Persidangan Produk Teknologi Hijau dan Eko Antarabangsa (IGEM 2014) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.
Muhyiddin yang diiringi Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili serta timbalannya Datuk Seri Mahdzir Khalid, meluangkan masa lebih daripada 30 minit melawat pameran itu.
Yang hadir sama, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.-BH
Kerjasama R&D Teknologi Hijau Dalam Syarikat Swasta Dan Agensi Kerajaan Perlu Diperkukuh
Reviewed by Unknown
on
October 16, 2014
Rating:

No comments: