PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini menetapkan lima hari bermula 9 Februari 2015 untuk mendengar rayuan bekas peguam dan tiga pekerjanya yang disabit dan dijatuhi hukuman mati kerana membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain pada 2010.
Panel tiga anggota diketuai Hakim Datuk Aziah Ali juga memerintahkan pihak pembelaan dan pendakwaan memfailkan hujahan bertulis masing-masing pada 26 Januari tahun depan.
Aziah yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat juga menetapkan 13 November ini untuk mendengar permohonan N Pathmanabhan untuk meminda petisyen rayuannya.
Beliau juga mengarahkan peguamnya untuk memfailkan permohonan itu sebelum 6 November ini.
Terdahulu, panel itu membenarkan permohonan yang dikemukakan oleh T Thilaiyalagan dan R Kathavarayan untuk lanjutan masa bagi membolehkan mereka memfailkan petisyen rayuan pada atau sebelum 30 November tahun ini.
Pada 23 Mei 2013, Pathmanabhan, 44, dan tiga pekerja ladang iaitu Thilaiyalagan, 22, R Matan, 23, dan Kathavarayan, 34, didapati bersalah dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati kerana membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.
Mereka didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam melakukan perbuatan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.
Mahkamah Tetapkan 9 Februari 2015 Dengar Rayuan Kes Bunuh Sosilawati
Reviewed by Unknown
on
October 21, 2014
Rating:
Reviewed by Unknown
on
October 21, 2014
Rating:

No comments: