KUALA LUMPUR: Rekod prestasi mantap Malaysia dalam menguruskan pentadbiran perkhidmatan awam dengan cekap menjadi kelebihan dan bakal memihak kepada wakil negara ini untuk dipilih sebagai Presiden Pertubuhan Komanwel Bagi Pentadbiran Awam dan Pengurusan (CAPAM) tahun ini.
Pemilihan yang dijadualkan semasa mesyuarat anggota CAPAM dan Lembaga Pengarah akan berlangsung pada Sabtu, sehari sebelum persidangan dwitahunan CAPAM, diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dari 19 hingga 21 Okt.
Pada masa ini jawatan Presiden CAPAM disandang Paul Zahra, Setiausaha Tetap Bagi Hal Ehwal Eropah Kerajaan Malta manakala Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa memegang jawatan Naib Presiden.
Ilham pembentukan Capam dicetuskan bekas Ketua Setiausaha Negara, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dengan Malaysia sebagai satu daripada pengasas CAPAM.
Beliau turut dilantik Naib Presiden pertama CAPAM pada 1994 apabila pertubuhan itu dibentuk, sebelum dipilih sebagai presiden kedua dua tahun kemudian.
PROSES PENGUNDIAN
Mengenai proses pemilihan, Dr Salmah Ishak daripada Urusetia Induk CAPAM 2014 berkata pengundian akan dilakukan oleh anggota pertubuhan berkenaan.
Beliau berkata 561 anggota CAPAM adalah dari Malaysia dan mereka akan mengambil bahagian dalam pengundian esok.
Salmah, bagaimanapun, tidak menyatakan berapa ramaikah anggota dari negara anggota Komanwel lain yang akan mengundi dalam pemilihan berkenaan.
"Hanya anggota yang telah mendaftarkan diri sebelum 17 Julai layak mengundi," katanya kepada Bernama pada Jumaat, sambil menambah CAPAM mempunyai dua jenis keahlian iaitu individu dan institusi.
Ketika ditanya siapakah yang turut bertanding untuk jawatan presiden CAPAM selain Ali, Salmah berkata beliau tidak mempunyai sebarang maklumat mengenainya.
"Lazimnya, Lembaga Pengarah akan memutuskan siapakah yang akan bertanding untuk jawatan berkenaan... ini adalah proses yang dilakukan semasa persidangan CAPAM di New Delhi, India pada 2012," kata beliau.
MALAYSIA MODEL PERANAN
Ali nampaknya mempunyai peluang yang baik untuk dicalonkan dan dipilih sebagai Presiden CAPAM, demikian menurut Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Gay Hamilton yang memuji pentadbiran perkhidmatan awam Malaysia sebagai model yang baik untuk dicontohi negara-negara Komanwel lain.
Hakikatnya, proses reformasi bersepadu dan berterusan yang dilakukan Malaysia menunjukkan perkembangan positif sejak beberapa dekad lalu.
Hamilton berkata kemajuan Malaysia selama ini sememangnya telah meletakkan negara ini di barisan hadapan dalam perubahan menarik perkhidmatan awam.
Beliau secara khusus merujuk pusat panggilan setempat atau 1Malaysia One Call Centre (1MOCC), sebagai 'model mengagumkan', sebagai antara sektor perkhidmatan awam Malaysia yang dilihat cemerlang dan boleh dicontohi negara anggota Komanwel lain.
1MOCC, yang direncanakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dilancarkan di bawah program 1Malaysia.
Sudah tidak menjadi rahsia lagi bahawa Malaysia sedang mengintai jawatan utama CAPAM apabila Ali sendiri memberitahu sidang media baru-baru ini bahawa negara ini ingin berkongsi mengenai kejayaan transformasi serta amalan terbaik dalam perkhidmatan awam Malaysia.
Beliau berkata beberapa negara Komanwel memandang tinggi keupayaan Malaysia kerana mereka kagum dengan kemampuannya dalam bidang pengurusan kerajaan dan mereka turut menyatakan minat untuk mempelajari beberapa aspek pentadbiran awam model pengurusan negara ini.
"Malaysia maju di beberapa bidang, seperti proses yang cepat dan cekap untuk memperbaharui pasport. Ia mengambil masa lebih kurang satu jam untuk memperbaharui pasport di sini sedangkan proses seumpamanya mengambil masa kira-kira dua minggu di negara-negara lain," katanya.
PENGALAMAN LUAS
Ali, 59, yang dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara pada Jun 2012, menyertai perkhidmatan awam pada 1981 dan telah berkhidmat dalam pelbagai jawatan sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam-Swasta di Jabatan Perdana Menteri pada April 2009.
Ali juga Pengerusi Institut Integriti Malaysia, Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) dan Timbalan Pengerusi Johor Corporation.
Beliau turut menerajui inisiatif kebangsaan Strategi Lautan Biru, usaha bersama pelbagai kementerian dan agensi kerajaan sejajar dengan agenda transformasi negara.
CAPAM 2014 dianjurkan dengan kerjasama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan Sekretariat Komanwel.
Bertemakan "Transformasi Perkhidmatan Awam: Satu Bicara Baharu", CAPAM 2014 akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad. - Bernama
Malaysia Berpeluang Cerah Sandang Jawatan Presiden
Reviewed by Salfian Nawawi
on
October 18, 2014
Rating:
Reviewed by Salfian Nawawi
on
October 18, 2014
Rating:

No comments: