Inisiatif Perdana Menteri Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah memastikan Malaysia terpilih menjadi ahli tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi penggal 2015-2016 di dalam proses pemilihan yang telah diadakan di Perhimpunan Agung PBB pada 16 Oktober 2014 di New York.
Mengucap setinggi tahniah kepada Najib atas kejayaan tersebut, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jemaah Menteri juga ingin mengucapkan tahniah kepada Menteri Luar Negeri Malaysia Dato' Sri Anifah Aman, Wisma Putra dan semua pihak yang terlibat dalam melobi pencalonan Malaysia ke Majlis Keselamatan PBB.
"Ia adalah kali ke-empat Malaysia dipilih menjadi ahli tidak tetap Majlis Keselamatan PBB dan ia merupakan satu keistimewaan dan penghormatan yang tinggi bagi negara kita."
"Sebagai ahli Majlis Keselamatan PBB, Malaysia akan berpeluang terlibat secara langsung dalam usaha memelihara keamanan dan keselamatan sejagat serta mengenengahkan nilai-nilai dan prinsip-prinsip Malaysia di dalam arena diplomasi antarabangsa."
"Malaysia akan menganggotai Majlis Keselamatan PBB bermula 1 Januari 2015 hingga 31 Disember 2016," katanya lagi sambil menambah pemilihan Malaysia sebagai ahli tidak tetap Majlis Keselamatan PBB merupakan satu kejayaan yang besar untuk negara dan harus dibanggakan.
Muhyiddin berkata demikian dalam kenyataan medianya sebentar tadi.
Dalam pengundian ahli tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkenaan, Malaysia telah memperolehi 187 undian, jauh dari majoriti dua pertiga yang diperlukan.
Muhyiddin menyatakan, jumlah undian yang diperolehi adalah satu pengiktirafan terhadap Malaysia sebagai negara yang berwibawa dalam melaksanakan tanggungjawab di peringkat antarabangsa.
"Sokongan padu yang diperolehi juga memberi landasan yang kukuh kepada Malaysia untuk melaksanakan tugasnya secara berkesan sebagai anggota Majlis keselamatan PBB," katanya lagi. - Sarawakiana
Malaysia Di Iktiraf Dunia
Reviewed by Salfian Nawawi
on
October 18, 2014
Rating:
Reviewed by Salfian Nawawi
on
October 18, 2014
Rating:

No comments: