Seo Services

Malaysia Pandang Serius Ancaman ISIS Di Selatan Filipina


KUALA LUMPUR: Malaysia memandang serius penularan ideologi kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) di selatan Filipina yang dilihat boleh mengancam keselamatan negara.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata ini berikutan beberapa kumpulan militan di selatan Filipina seperti Pejuang Kebebasan Islam Bangsamoro (BIFF), kumpulan Abu Sayyaf dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang secara terbuka menyatakan sokongan terhadap ISIS.

"Walaupun (ancaman) masih di tahap rendah, pihak keselamatan tidak sesekali memandang ringan dan akan memantau secara serius dan mengambil segala tindakan yang perlu dalam memastikan ideologi yang dipelopori pendokong ISIS tidak menular ke negara ini," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Khamis.

Menjawab soalan tambahan Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan), Hishammuddin berkata penambahan aset pertahanan dan keselamatan di Sabah, khasnya di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) juga merupakan langkah proaktif kerajaan bagi mengekang ancaman ISIS.

Katanya, pelbagai usaha penambahbaikan aset pertahanan di Sabah telah dan akan diambil untuk tujuan itu.

Ini termasuk memanjangkan landasan terbang di Lahad Datu bagi membolehkan pesawat tentera C130 mendarat, menaik taraf pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Labuan untuk menempatkan pesawat pejuang Hawk dan memperoleh radar penguasaan berkeupayaan tinggi.

Selain itu, kerajaan membina dua Pangkalan Operasi Hadapan dalam bentuk 'Sea Base' bagi mengekang ancaman, khususnya di laluan keluar perairan negara dan berperanan sebagai pusat pemerintahan, pemintasan dan penyekatan laluan, pengawasan, pos pemeriksaan di laut dan penguatkuasaan laluan khusus.

"Konsep Sea Basing juga dapat menyediakan lokasi platform bergerak dan statik yang mampu memanjangkan jangkauan dan seterusnya menyingkatkan masa bertindak pasukan keselamatan," katanya.

Pangkalan Operasi Hadapan ini dijangka beroperasi sepenuhnya pada April tahun depan.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Hishammuddin berkata kerajaan memantau serangan udara Amerika Syarikat ke atas ISIS untuk belajar bagaimana mereka menangani ancaman berkenaan.

"Ancaman itu sesuatu yang baharu, sebab itu agak sukar bagi Presiden (Barack) Obama untuk mengetahui bagaimana untuk berurusan dengan ISIS pada masa ini.

"Tetapi kita mempunyai kelebihan untuk melihat, dari segi perkembangannya, sama ada ia berkesan dan cuba kaitkan dengan situasi kita di Malaysia," katanya.

Beliau berkata kerajaan juga memperkukuh kerjasama dengan negara jiran terutama Filipina, Indonesia dan Brunei selain mengambil langkah proaktif sebelum melihat kemungkinan membabitkan kumpulan yang tidak mudah dikenal pasti itu.

Ditanya sama ada 39 rakyat Malaysia yang dikenal pasti mempunyai hubungan dengan kumpulan militan, termasuk ISIS, boleh menimbulkan ancaman kepada negara ini, Hishammuddin berkata beliau percaya mereka tidak menyasarkan Malaysia.

"Saya tidak melihat mereka menyasarkan kita. Mereka warga Malaysia dan mereka pergi ke Syria untuk menyokong ISIS, tetapi saya tidak fikir mereka mempunyai niat untuk menyasarkan Malaysia," katanya. - BERNAMA
Malaysia Pandang Serius Ancaman ISIS Di Selatan Filipina Malaysia Pandang Serius Ancaman ISIS Di Selatan Filipina Reviewed by MRJ | Mr. Januarius Tomek on October 17, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.