KUANTAN: Pahang menempah slot ke perlawanan akhir Piala Malaysia selepas menumpaskan Kedah dengan agregat 6-3 pada separuh akhir kedua di Stadium Darul Makmur pada Jumaat malam.
Skuad Tok Gajah berpesta gol di halaman sendiri apabila berjaya mencipta lima gol tanpa balas.
Tuan rumah selaku penyandang Piala Malaysia dilihat berusaha bermati-matian mencari gol awal untuk memberi semangat ekoran ketinggalan 1-3 pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Darul Aman, Alor Setar.
Skuad Tok Gajah memecah kebuntuan seawal minit ke-4 menerusi Matias Ruben Conti, yang menanduk bola masuk ke gawang lawan selepas menyambut tendangan sudut Azidan Sarudin.
Gol kedua Pahang hadir pada minit ke-25 menerusi R. Gopinathan yang merembat kencang di dalam kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol Kedah Saiful Amar Sudar.
Pada minit ke-29, Azidan sekali lagi menjadi pencetus apabila melakukan hantaran silang sebelum disambar Conti untuk meledakkan gol ketiga untuk Pahang.
Conti muncul penjaring hatrik selepas menjaringkan gol keempat Pahang pada minit ke-36 rentetan gerakan menarik Dickson Nwakaeme yang menggelecek ke dalam kotak penalti sebelum melakukan hantaran kepada penyerang berbisa itu.
Pada awal babak kedua menyaksikan Kedah lebih agresif melakukan serangan ke kubu Pahang untuk mengurangkan defisit gol namun berjaya dikekang barisan pertahanan skuad Tok Gajah.
Pada minit ke-73, Nwakaeme beraksi cemerlang apabila melakukan larian dari tengah padang sehingga masuk ke kotak penalti sebelum merembat kencang membolosi gol lawan, menjadikan keputusan 5-0.
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Presiden PBNP Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah hadir menyaksikan perlawanan.- BERNAMA
Pahang Tumpaskan Kedah 5-0, Layak Ke Final Piala Malaysia
Reviewed by Unknown
on
October 25, 2014
Rating:
No comments: