Seo Services

Rakyat Palestin Terus Menderita Jika Rundingan Berpanjangan - Malaysia


KUALA LUMPUR: Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Datuk Hussein Haniff berkata rakyat Palestin akan terus menderita jika rundingan berpanjangan.

Sehubungan itu, katanya Malaysia berpendapat bahawa ia tidak boleh diterima jika rundingan bagi menyelesaikan konflik Palestin-Israel dibiarkan berterusan selama-lamanya.

"Kita melakukan ketidakadilan terhadap penduduk Palestin jika kita menegaskan bahawa satu-satunya harapan bagi penubuhan negara Palestin bergantung kepada rundingan tanpa kesudahan dengan Israel.

"Sedangkan pada masa yang sama, kita membenarkan Israel untuk menyimpang jauh daripada penyelesaian dua negara," katanya semasa berucap pada perbahasan terbuka mengenai keadaan di Timur Tengah termasuk soal Palestin, di Majlis Keselamatan PBB di New York.

Teks ucapan beliau dihantar kepada Bernama.

Malaysia, baru-baru ini dipilih menduduki kerusi tidak tetap dalam Majlis Keselamatan untuk penggal 2015-2016, menyokong penuh usaha Palestin untuk menetapkan jangka masa bagi mengakhiri pendudukan Israel, kata Hussein.

Menyentuh perkara berkenaan, wakil Malaysia itu beranggapan Majlis Keselamatan gagal menamatkan perbuatan Israel yang sewenang-wenangnya melanggar undang-undang.

Hussein berkata oleh kerana Majlis Keselamatan terus menutup pintunya terhadap isu Palestin, pertubuhan itu tidak harus menyalahkan atau menghukum Palestin kerana cuba membuka pintu lain berdasarkan undang-undang antarabangsa dan multilateralisme, bagi mencapai hak yang telah lama dinafikan dalam menentukan masa depan sendiri.

Wakil itu menarik perhatian kepada keputusan Palestin untuk mematuhi pelbagai konvensyen dan perjanjian antarabangsa awal tahun ini termasuk keempat-empat Konvensyen Geneva.

"Kami menggesa masyarakat antarabangsa, terutama Majlis Keselamatan, tidak sekali lagi menutup pintunya tetapi menyokong usaha bagi mengakhiri penjajahan dan apartheid terhadap rakyat Palestin demi keamanan dan kestabilan rantau itu," katanya.

Hussein seterusnya berkata Malaysia bimbang mengenai serangan dan provokasi Israel yang semakin meningkat terhadap beberapa tapak suci di Baitulmuqaddis termasuk perkarangan Masjid Al-Aqsa.

"Kami mengutuk keras percubaan pihak berkuasa Israel untuk mengubah status dan identiti kawasan suci di Baitulmuqaddis.

Kami menggesa supaya provokasi seperti itu dihentikan sebelum keadaan menjadi bertambah buruk dan bertukar mmenjadi satu lagi insiden tragik," kata beliau.

Sementara itu, pada sesi perbahasan terbuka mengenai "Kaedah Kerja Majlis Keselamatan", Hussein berkata Malaysia gembira apabila mendapati gesaan bagi meningkatkan ketelusan, idea dan akauntabiliti bagi pihak Majlis Keselamatan berdasarkan keanggotaannya yang meluas, sehingga ke satu peringkat, telah dilaksanakan .

"Delegasi saya ingin menegaskan bahawa kemungkinan penambahbaikan terhadap kaedah kerja Majlis tidak harus dijalankan dalam ruang yang kosong," kata beliau ketika merujuk kepada beberapa inisiatif yang telahpun dijalankan atau hendak dilaksanakan.

Memetik kajian akan datang terhadap Suruhanjaya Perdamaian, Operasi Pengaman PBB dan juga Misi Politik Khas, beliau berkata hasil inisiatif ini dan inisiatif antara kerajaan lain yang relevan harus diambil kira dalam perbincangan Majlis untuk meningkatkan kaedah kerjanya.

Malaysia juga menggesa bagi peningkatan penyelarasan antara Majlis Keselamatan dan negara-negara yang menyumbang pasukan tentera untuk mengukuhkan keberkesanan operasi pengaman. - Bernama
Rakyat Palestin Terus Menderita Jika Rundingan Berpanjangan - Malaysia Rakyat Palestin Terus Menderita Jika Rundingan Berpanjangan - Malaysia Reviewed by Salfian Nawawi on October 24, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.