Seo Services

Pelantikan Jokowi: Hubungan Malaysia-Indonesia Masuki Era Lebih Menarik


JAKARTA: Hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia bukan sahaja terus kekal terjalin pada tahap terbaik malah akan memasuki era baru yang lebih menarik berikutan pelantikan Joko Widodo sebagai Presiden baru Indonesia mulai esok.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata beliau melahirkan pandangan ini apabila secara peribadi dalam beberapa pertemuan dengan pemimpin itu sebelum ini, Joko atau lebih dikenali sebagai "Jokowi" sering kali menyuarakan rasa gembira dan senang hatinya terhadap hubungan Republik itu bersama kepimpinan dan kerajaan Malaysia.

"Joko cukup senang dengan Malaysia, dan dia sebut banyak kali perkataan serumpun (merujuk kepada persamaan hubungan nusantara dan bangsa Melayu antara rakyat Indonesia dan Malaysia)," katanya kepada delegasi media Malaysia di Hotel Suria di sini, hari ini.

Hotel berkenaan menjadi pusat sekretariat Malaysia dan hotel penginapan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sempena lawatan ke negara ini bagi menghadiri majlis angkat sumpah presiden ketujuh republik itu esok.

Najib adalah antara 18 kenamaan asing dan sembilan ketua kerajaan yang dijadual menghadiri upacara bersejarah itu pada 10 pagi esok di hadapan Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR), badan perundangan tertinggi Indonesia.

Zahrain berkata sebagai bukti bahawa Jokowi rapat dengan Malaysia, kehadiran Najib di Indonesia kali juga adalah atas jemputan peribadi presiden baru itu yang ingin perdana menteri bersama-sama dengan pemimpin dan rakyat Indonesia menyaksikan upacara yang amat bererti bagi dirinya.

Katanya Jokowi yang mempunyai pengalaman luas sebagai usahawan sebelum menceburi bidang politik mampu mempertingkatkan kerjasama ekonomi kedua-dua negara serta menyemarakkan hubungan perniagaan yang sedia terjalin antara rakyat Malaysia dan Indonesia.

"Malah, sebagai orang berniaga, kita lihat beliau lebih memahami perkara-perkara yang dikaitkan dengan bisnes dan ekonomi.

"Apabila berbincang dengan beliau, kita (Malaysia) rasa cukup senang dengan personaliti beliau yang sentiasa rendah diri hingga menjadikan hubungan sedia ada lebih mantap dan berada pada tahap yang terbaik antara kedua-dua negara," katanya.

Zahrain, yang menyandang jawatan itu 11 bulan lepas, berkata berdasarkan hubungan cemerlang itu, Malaysia akan terus berusha untuk mempertingkatkan hubungan dua hala dalam pelbagai aspek semasa pemerintahan Jokowi bagi tempoh lima tahun akan datang.

Menurutnya pada kunjungan Najib kali ini, beliau dan pemimpin negara asing lain tidak berkesempatan mengadakan pertemuan dua mata dengan Jokowi berikutan jadual ketat yang disusun bagi membolehkan presiden baru itu meraikan detik istimewa itu bersama rakyat Indonesia menerusi pelbagai sambutan bersama rakyat.

Bagaimanapun, Najib dijangka menemui Jokowi dalam pertemuan khas semasa Persidangan APEC di Beijing pada 10 Nov ini serta beberapa pertemuan peringkat antarabangsa lain dalam tempoh terdekat.

Menurutnya pada pertemuan itu, beberapa perkara akan dibincangkan khususnya Memorandum Persefahaman antara kedua-dua negara yang ditandatangani sebelum ini termasuk kerjasama penghantaran pekerja Indonesia ke Malaysia khususnya sektor pembantu rumah dan penyelesaian pertindihan sempadan Maritim kedua-dua negara mencapai perkembangan positif.

"Ini termasuk isu-isu ekonomi yang diletakkan harapan tinggi oleh pemimpin kedua-dua negara membabitkan pelaburan sehingga USD$30 bilion menjelang akhir 2015.

"Kalau dirancang dengan baik dan ditambah lagi dengan pendirian presiden baru yang lebih terbuka, maka tidak mustahil banyak kejayaan dan pencapaian akan tercapai," katanya.

Zahrain juga menyatakan penghargaannya kepada presiden Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) yang telah mengukuhkan hubungan Malaysia-Indonesia sepanjang menerajui Republik itu.

"Dalam 10 tahun kepimpinan SBY, hubungan Indonesia-Malaysia diletakkan pada landasan terbaik dan kita mengucapkan terima kasih kepadanya yang sering kali pada setiap perjumpaan berkeadaan cukup mesra terutama kepada Perdana Menteri Malaysia," katanya. - Bernama
Pelantikan Jokowi: Hubungan Malaysia-Indonesia Masuki Era Lebih Menarik Pelantikan Jokowi: Hubungan Malaysia-Indonesia Masuki Era Lebih Menarik Reviewed by Salfian Nawawi on October 19, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.