Seo Services

Tiga Penggerak Utama Militan Antara 14 Ditahan Di Selangor


KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga individu disyaki penggerak utama yang bertanggungjawab merekrut, membiayai dan mengatur pemergian rakyat Malaysia ke Syria untuk menyertai kumpulan pengganas Negara Islam (IS).

Mereka adalah antara 14 individu yang ditahan dalam satu operasi khas tiga hari oleh Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman di sekitar Shah Alam dan Damansara, Selangor mulai Isnin (13 Okt).

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan lewat petang ini berkata kesemua yang ditahan adalah rakyat negara ini, berumur antara 14 dan 48 tahun, terdiri daripada peniaga, event crew, tukang masak, pereka grafik, pelajar, suri rumah dan jurutera.

"Hasil siasatan, penggerak utama pertama, suspek berusia 37 tahun merupakan pengendali facebook yang mempromosi, merekrut, dan memuat turun propaganda kumpulan IS bagi mempengaruhi rakyat Malaysia untuk berjihad di Syria," katanya.

Khalid berkata suspek itu juga aktif merekrut pelajar wanita universiti tempatan untuk dihantar ke Syria.

"Penggerak utama kedua berusia 34 tahun, pernah menyertai kumpulan IS di Syria antara Disember 2013 hingga April 2014.

"Beliau yang kembali ke Malaysia 8 April lalu berperanan dalam memberi panduan, galakan dan berkongsi pengalaman dengan rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan IS di Syria," katanya.

Manakala pengerak utama ketiga berusia 37 tahun adalah seorang jurutera yang memegang jawatan Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Pembentungan, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Katanya, suspek ketiga itu disyaki membiayai perbelanjaan individu-individu yang direkrut tersebut ke Syria.

Khalid berkata suspek ketiga itu juga dipercayai mempunyai hubungan dengan pengganas lain iaitu Dr Mahmud Ahmad, Mohd Najib Hussein, dan Mohd Joraimee, yang kini menyertai kumpulan Abu Sayyaf di Selatan Filipina.

Beliau berkata lima daripada yang ditahan terdiri daripada sebuah keluarga yang disyaki merancang untuk berlepas ke Syria menyertai IS.

Katanya penggeledahan rumah keluarga itu turut menemui buku-buku jihad dan aktiviti militan.

"Malah seorang daripada keluarga itu merupakan pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah di Klang, Selangor," katanya.

Katanya kesemua suspek ditahan di bawah Bab VIa - Kesalahan Berkaitan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747). - Bernama
Tiga Penggerak Utama Militan Antara 14 Ditahan Di Selangor Tiga Penggerak Utama Militan Antara 14 Ditahan Di Selangor Reviewed by Salfian Nawawi on October 15, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.