Foto : Rotikaya |
Mengambil keberkatan sempena hari penuh barakah hari Jumaat, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, 30, sah bergelar suami kepada gadis pilihan baginda, Cik Khaleeda Bustamam.
Istiadat pernikahan pasangan ini dikendalikan Mufti Johor Datuk Tahrir Samsuddin dalam satu majlis yang diadakan di Istana Serene.
Cik Khaleeda dikurniakan gelaran Che Puan, selepas istiadat pernikahan tersebut.
Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menghadiahkan tujuh dulang hantaran kepada pengantin perempuan.
Sebagai balasan, Cik Khaleeda telah memberikan sebanyak sembilan dulang hantaran kepada pengantin lelaki.
Sebelum acara ijab dan kabul, telah diadakan majlis pertunangan Tunku Ismail dengan Che Puan Khaleeda.
Pasangan sama cantik sama padan ini mengenakan busana sedondon berona putih di mana Tunku Ismail segak berbaju Melayu dan Cik Khaleeda anggun mengenakan baju kurung moden tradisional.
Kedua-dua majlis yang diadakan penuh istiadat dan meriah ini dihadiri hanya kerabat dan keluarga terdekat kedua-dua mempelai.
Sementara istiadat merisik berlangsung pada 27 September lalu dengan rombongan diraja diketuai Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.
Majlis resepsi pasangan mempelai bakal diadakan di Istana Besar, Johor Bahru pada 8 November depan dijangka pada jam 7.30 malam.
Istiadat persandingan tersebut bakal berlangsung secara sederhana tetapi penuh dengan adat istiadat diraja Johor dan ketenteraan, dijangka dihadiri oleh kira-kira 1,200 jemputan dari dalam dan luar negara.
Antara tetamu kehormat yang akan menghadiri istiadat itu termasuk Sultan Brunei, Sultan Pahang, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, Perdana Menteri Singapura serta barisan Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri Johor.
Tunku Ismail diputerakan pada 30 Jun 1984 di Johor Bahru dan merupakan putera sulung daripada enam adik-beradik kepada Sultan Johor dan Raja Zarith Sofia.
Baginda mendapat pendidikan awal persekolahan di Johor Bahru sebelum melanjutkan pendidikannya di Australian International School, Singapura pada 1999 dan Hale School di Perth, Australia.
Bermula 17 Julai 2003 hingga 11 Disember 2004, Tunku Ismail menjalani latihan ketenteraan di India Military College di Dehradun, India dan ditauliahkan pangkat Leftenan.
Baginda menempa sejarah apabila menjadi rakyat asing pertama mengetuai Rejimen Berkuda Tentera India memberi tabik hormat kepada Presiden India, A.P.J Abdul Kalam sempena sambutan Hari Kebangsaan India ke-58 pada 20 Januari 2007.
Manakala Che Puan Khaleeda, dilahirkan pada 16 Julai 1993 di Kuala Lumpur dan merupakan anak bongsu kepada lima adik-beradik kepada pasangan Bustamam Daud dan Aziyah Abdul Aziz.
Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Taman Seri Gombak bermula 2000 hingga 2003, sebelum meneruskan pendidikan awalnya di Sekolah St. George’s Hanover Square, London pada 2003 hingga 2004.
Che Puan Khaleeda melanjutkan persekolahan menengahnya di Westminster Academy London pada September 2004 hingga Julai 2008 dan di Sekolah Sri Utama, Kuala Lumpur sekembalinya ke Malaysia pada 2010.
Tahniah dan selamat pengantin baru diucapkan kepada Tunku Ismail dan Che Puan Khaleeda, semoga tuanku dan isteri kekal bahagia hingga ke akhir hayat.-sumber
TMJ dan Khaleeda Selamat Diijabkabulkan
Reviewed by Unknown
on
October 24, 2014
Rating:
No comments: