Seo Services

Ibrahim Ali Saman Akhbar The Star Setengah Juta


KUALA LUMPUR: Presiden PERKASA, Datuk Paduka Ibrahim Ali tidak teragak-agak untuk menyaman Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) The Star Datuk Seri Wong Chun Wai, berhubung satu artikel yang didakwa memfitnahnya.

Memetik laporan portal Malaysian Insider sebagaimana dilaporkan The Star, surat tuntutan saman berjumlah RM500,000 yang bertarikh 24 November mendesak Wong membuat pengakuan bertulis untuk tidak memberikan ulasan lanjut mengenai artikel yang bertajuk ‘A mind-boggling spin’ yang disiarkan akhbar berkenaan pada 2 November lalu.

Selain itu, Ibrahim juga mahu Wong membuat kenyataan bertulis, menarik balik artikel berkenaan.

Artikel berkenaan yang ditulis oleh Wong, mempersoalkan mengapa tiada dakwaan difailkan terhadap kenyataan Ibrahim yang mahu membakar Bible bahasa Melayu.

“Pendirian saya masih sama. Kesederhanaan akan terus bersuara. Katakan tidak kepada ekstremisme. Jika kes ini dibawa ke mahkamah, kami akan melawannya,” kata Wong seperti dilaporkan akhbar milik MCA itu hari ini.

Surat tuntutan saman berkenaan juga mengkehendaki Wong yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Star Publications (M) Bhd menjawab surat berkenaan dalam tempoh 14 hari atau berdepan tindakan undang-undang.

Hujung bulan lalu, Jabatan Peguam Negara memutuskan tiada tindakan akan diambil terhadap Ibrahim yang menggesa Bible berbahasa Melayu, dibakar.

Ia mengatakan seruan Presiden PERKASA itu mesti dilihat daripada keseluruhan konteks dan menambah, keadaan waktu itu hanya ditujukan kepada kejadian di mana Bible tersebut diedarkan kepada pelajar Islam di SMK Jelutong, Pulau Pinang.

“Sebagaimana yang diputuskan mahkamah, sebelum sesuatu kenyataan itu dikatakan mempunyai kecenderungan menghasut, kenyataan itu hendaklah dilihat secara keseluruhan dan tidak boleh dipisahkan daripada konteks di mana ia dibuat.

“Apabila dikaji di dalam konteksnya secara keseluruhan, kenyataan Ibrahim tidak tergolong sebagai kecenderungan menghasut.

“Jelas Ibrahim bukan berniat menimbulkan kekecohan keagamaan tetapi hanyalah mempertahankan kesucian agama Islam,” menurut kenyataan Jabatan Peguam Negara.

Kenyataan itu juga menyebut, Ibrahim tidak akan didakwa mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana bekas ahli Parlimen Pasir Mas itu tidak mempunyai niat menghina dan menimbulkan provokasi yang membolehkan ketenteraman awam tergugat.

“Tiada juga kesalahan di bawah Seksyen 298 atau 298A Kanun Keseksaan yang dilakukan kerana Datuk Ibrahim Ali jelas mempertahankan kesucian agama Islam,” katanya. - RakyatPost
Ibrahim Ali Saman Akhbar The Star Setengah Juta Ibrahim Ali Saman Akhbar The Star Setengah Juta Reviewed by Salfian Nawawi on November 29, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.