Seo Services

MAS: Beri Sokongan Padu Kepada CEO Baharu


KUANTAN: Rakyat diminta tidak mempersoalkan pelantikan Christoph R Mueller sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) yang baru, sebaliknya memberi peluang kepada beliau membuktikan kemampuannya.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, sokongan padu perlu diberikan kepada bekas CEO syarikat penerbangan Ireland Aer Lingus itu yang akan memikul tanggungjawab mengembalikan kegemilangan syarikat penerbangan negara bermula 1 Januari depan.

Beliau berkata, pelantikan Mueller oleh Khazanah Nasional Berhad dibuat berdasarkan banyak kriteria termasuk kemampuan, kepakaran dan kredibilitinya dalam industri penerbangan memulihkan syarikat penerbangan Ireland yang pernah mengalami masalah kerugian dalam tempoh setahun.

“Kita perlu menaruh keyakinan kepada beliau (Mueller) dan sama-sama memberi sokongan kepadanya untuk membantu melonjak kembali prestasi MAS sebagai syarikat penerbangan terbaik di dunia.

“Sepatutnya, tidak timbul persoalan mengapa Khazanah Nasional dan MAS menafikan kebolehan dan kemampuan anak tempatan menerajui syarikat penerbangan negara. Memang ramai anak tempatan yang berkhidmat dengan MAS, tetapi soalnya sekarang kita hendak melaksanakan pelan penstrukturan semula,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Seminar Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Baru Zon Pantai Timur di sini, semalam.

Katanya, tiada masalah bagi Khazanah Nasional melantik mana-mana orang berkebolehan kerana yang penting hasil diperoleh dan hasrat kerajaan serta rakyat untuk melihat MAS kembali menjadi syarikat penerbangan disegani direalisasikan.

Mueller yang mengetuai Aer Lingus sejak 2009 mempunyai rekod prestasi cemerlang dan berjaya memulihkan syarikat penerbangan kebangsaan Ireland dan mempunyai pengalaman lebih 25 tahun dalam sektor penerbangan, logistik dan pelancongan.

Warga Jerman itu turut menjadi tokoh penting memulihkan masalah kewangan syarikat penerbangan Jerman Lufthansa.

Mengulas dakwaan mengenai Akta MAS yang baru diluluskan Parlimen bulan lalu yang dilihat tidak menyebelahi pekerja, beliau berkata, walaupun ada pengurangan kakitangan, tetapi mereka yang ditukar diberi latihan semula untuk menyertai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lain.


“Ia bukan pemecatan pekerja, tetapi satu pelan komprehensif yang mengambil kira kebajikan pekerja secara keseluruhan,” katanya. HMetro
MAS: Beri Sokongan Padu Kepada CEO Baharu MAS: Beri Sokongan Padu Kepada CEO Baharu Reviewed by MRJ | Mr. Januarius Tomek on December 08, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.