Seo Services

KPWKM Komited Bantu Mangsa Banjir




Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masysrakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah bertindak pantas dalam membantu mangsa banjir yang melibatkan enam (6) buah negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Pahang, Perak, Selangor dan Johor.

Setakat jam 12.00 tengah hari ini (29 Disember 2014), sebanyak 661 pusat pemindahan telah dibuka di negeri-negeri tersebut yang melibatkan seramai 53,182 keluarga dan 218,564 mangsa.

JKM telah menyalurkan bantuan untuk mangsa-mangsa bencana yang terlibat sejak hari pertama banjir melanda di beberapa buah negeri di Semenanjung Malaysia. Jenis bantuan yang disalurkan melalui pusat-pusat pemindahan yang dibuka adalah seperti ​Kit Bencana ​- ​merangkumi alat kebersihan diri, makanan​-​makanan kering, tikar dan selimut serta pakaian.

Bagi tujuan mempertingkatkan keupayaan dalam mengurus dan mengendalikan bencana dari segi penyediaan ruang privasi kepada mangsa, JKM telah memperkenalkan beberapa inisiatif baharu pada tahun ini iaitu dengan mewujudkan pembahagi boleh lipat (collapsible partition), khemah boleh lipat (collapsible tent) dan foam mat. 

Antara ciri inovasi collapsible partition ini ialah ianya boleh dijadikan sebagai pemisah atau boleh disambungkan untuk dijadikan bilik atau kiub dengan menggunakan fungsi cangkuk dan stopper.

Selain itu, partition tersebut boleh disusun dan diatur mengikut ruang/layout yang ditetapkan untuk ruang tidur, solat, bilik persalinan dan rawatan. Sehingga kini jumlah collapsible partition yang telah diagihkan ialah 2,128 buah manakala collapsible tent dan foam mat masing-masing telah diagihkan sebanyak 4,000 buah dan 3,000 keping.

Di antara masalah yang dihadapi di pusat pemindahan dan mangsa ialah ketiadaan bekalan air dan elektrik, perhubungan jalan terputus dan seterusnya menjejaskan proses penghantaran bekalan makanan kepada mangsa-mangsa di pusat-pusat pemindahan.

Walau bagaimanapun bagi mengatasi masalah ini, Majlis Keselamatan Negara telah menyewa trak-trak bagi tujuan penghantaran makanan, penyediaan tandas bergerak dan bekalan generator.

Manakala JKM pula, bersama-sama dengan jawatankuasa kecil di pusat pemindahan, pemimpin tempatan dan sukarelawan sentiasa membuat proses pendaftaran mangsa banjir, menyediakan keperluan asas seperti selimut dan tikar, menjaga keselamatan, kebersihan, menyediakan makanan serta mengatur aktiviti yang bersesuaian untuk mangsa-mangsa di pusat pemindahan.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) juga telah mengumpulkan seramai 517 sukarelawan kebajikan dari seluruh negara untuk membantu pegawai-pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bertugas di pusat-pusat pemindahan banjir.

Mereka akan membantu pegawai JKM di pusat pemindahan seperti membuat pendaftaran mangsa, menyediakan makanan serta mengedarkan keperluan kepada mangsa-mangsa banjir. KPWKM juga turut menghantar sukarelawan yang terdiri daripada pegawai KPWKM dalam misi bantuan ini.

Sehingga 29 Disember 2014, seramai 74 orang Pegawai Psikologi JKM terlibat dalam misi pengendalian intervensi krisis kepada mangsa banjir (dewasa dan kanak-kanak) melibatkan aktiviti psikoterapi, psikopendidikan, bimbingan dan sokongan psikologikal di pusat-pusat pemindahan yang boleh diakses setakat ini.

KPWKM menyeru individu, NGO dan Badan Korporat untuk menyalurkan sumbangan ke Tabung Amanah KPWKM bagi membantu keperluan mangsa banjir melalui akaun Maybank 564016600603.

Sumbangan juga boleh diberikan melalui cek atas nama Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat atau nama ringkas "KSU KEM.PEMB. WANITA, K'RGA & MASY."

Kerjasama yang erat di antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dalam membantu mangsa banjir ini amatlah diharapkan agar segala perancangan yang diaturkan untuk mangsa bencana ini dapat berjalan dengan sempurna. - Sarawakiana
KPWKM Komited Bantu Mangsa Banjir KPWKM Komited Bantu Mangsa Banjir Reviewed by Salfian Nawawi on December 29, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.