MIRI: Seorang bekas kerani akaun dijatuhi hukuman penjara 56 bulan
oleh Mahkamah Majistret semalam setelah mengaku bersalah atas tiga tuduhan
melakukan pecah amanah jenayah membabitkan tiga keping cek bernilai RM11,313.
Hukuman itu dijatuhkan oleh Majistret Lovely Natasha Charles
setelah menimbang beberapa faktor termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh,
keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira
kepentingan awam.
Zalifah Latip, 34, dari Kampung Lereng Bukit di sini menghadapi
tiga tuduhan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman
penjara tidak kurang dari setahun dan tidak melebihi 14 tahun serta sebat dan
boleh didenda, jika sabit kesalahan bagi setiap tuduhan.
Berdasarkan tuduhan pertama, tertuduh sebagai kerani akaun yang
diamanah dengan penguasaan harta syarikat Rotorwing (M) Sdn Bhd iaitu buku cek
Bank OUB, telah melakukan pecah amanah menggunakan cek membeli jubin bernilai
RM2,990 bagi kegunaan sendiri.
Tertuduh yang juga ibu kepada lima anak didakwa melakukan
kesalahan itu pada 25 Julai 2012 di Miri Trading Company, Jalan Merbau di sini.
Manakala dalam tuduhan kedua, tertuduh telah mengulangi perbuatan
sama dengan menggunakan cek syarikat untuk membeli satu set sofa separuh kulit
bernilai RM5,000 untuk kegunaan sendiri.
Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada 8 Ogos 2012 di
Sonice Furniture, Tingkat 3 Merdeka Mall di sini.
Sementara dalam tuduhan ketiga, tertuduh sekali lagi telah
menggunakan cek syarikat bagi pembelian set kosmetik bernilai RM3,323 untuk
kegunaan sendiri.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 4 Disember 2012 di sebuah
bank di Jalan Nakhoda Gampar di sini.
Bagi kesalahan pertama, tertuduh dikenakan hukuman penjara 14
bulan, kesalahan kedua 24 bulan dan kesalahan ketiga dikenakan hukuman penjara
18 bulan.
Mahkamah memerintahkan ketiga-tiga hukuman itu dijalani oleh
tertuduh secara berasingan.
Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Nor. - UB
Atas Tiga Tuduhan Kerani Akaun Dipenjara 56 Bulan
Reviewed by MRJ | Mr. Januarius Tomek
on
January 15, 2015
Rating:
Reviewed by MRJ | Mr. Januarius Tomek
on
January 15, 2015
Rating:

No comments: