KUCHING: Meskipun kebanyakan kawasan sudah beransur pulih daripada
banjir namun beberapa pusat pemindahan masih dibuka kepada mangsa untuk
mempersiapkan diri sebelum pulang ke rumah masing-masing.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Negeri Datuk
Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata walaupun banyak pusat pemindahan
ditutup semalam, ia tidak bermakna mangsa tidak boleh tinggal di pusat
berkaitan lagi.
“Kita masih membuka pusat pemindahan kepada mangsa kerana mungkin
kediaman mereka masih belum sesuai untuk didiami di mana mereka perlu
membersihkannya terlebih dahulu.
“Kerajaan memberi peluang dan masa kepada mereka dan mangsa boleh
berulang-alik dari pusat pemindahan ke rumah mereka sementara membersihkan
kediaman sebelum mereka berpindah masuk,” katanya ketika ditemui pemberita
selepas menghadiri taklimat banjir di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.
Jabu yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, sebahagian daripada
pusat pemindahan akan kekal dibuka sehingga semuanya selesai.
Jelasnya jawatankuasa akan memastikan semua ketua keluarga dan
ahlinya membersihkan rumah masing-masing sebelum pulang bagi memberi keselesaan
kepada mereka.
“Mereka akan tinggal di pusat pemindahan sehingga rumah
betul-betul bersih dan selesa bagi mereka, mungkin bukan dalam masa terdekat
tetapi dalam tempoh sewajarnya,” kata beliau.
Berhubung situasi Lapangan Terbang Limbang yang dikatakan dinaiki
air dan ditutup, Jabu berkata kawasan berkenaan sememangnya tanah rendah dan ia
mungkin sementara sahaja.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar memberitahu,
situasi keseluruhan di Limbang serta Lawas kini juga beransur pulih di mana
paras air Sungai Limbang sudah menunjukkan penurunan.
Bagaiamanapun katanya, disebabkan sungai Limbang yang berliku
menyebabkan aliran air sungai perlahan dan mengambil masa sekurang-kurangnya
dua hari untuk pulih.
“Mungkin masih ada beberapa kawasan di sana masih ditenggelami air
kerana aliran yang perlahan namun dengan keadaan cuaca yang semakin baik dalam
masa dua hari semuanya beransur pulih,” tegas beliau.
Ditanya mengenai bantuan kepada mangsa banjir terutama mereka yang
tidak dipindahkan beliau berkata, kesemua mangsa akan menerima bantuan namun
mengikut kategori masing-masing yang ditentukan oleh Pejabat Residen.
“Pejabat Residen akan membuat laporan mengenai perkara ini,
bantuan memang ada namun kategorinya ditentukan Residen,” katanya. - UB
Pusat Pemindahan Banjir Masih Dibuka
Reviewed by MRJ | Mr. Januarius Tomek
on
January 23, 2015
Rating:

No comments: