KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini melepas dan membebaskan seorang pegawai polis wanita atas tuduhan menerima rasuah RM4,000 berhubung pembebasan seorang lelaki warga Cameroon yang ditahan kerana kesalahan samun.
Hakim Mohd Nasir Nordin membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Inspektor Suriati Mohd Shafie, 34, di akhir kes pembelaan.
Dalam keputusannya, mahkamah mendapati berlaku percanggahan keterangan saksi pendakwaan berhubung wang rasuah yang didakwa dimasukkan dalam beg tangan tertuduh.
Suriati dilihat menangis kegembiraan ketika berdiri di kandang tertuduh sejurus mendengar keputusan itu.
Mengikut pertuduhan, Suriati, didakwa dengan niat bersetuju menerima RM4,000 daripada Nurullizean Yahya sebagai dorongan membantu melepaskan suaminya, Tchouanseu Tchounga Armand, yang disyaki terlibat kes samun.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Bilik Pejabat Tingkat 3, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields (Balai Polis Petaling), antara 8.30 malam dan 9.30 malam pada 22 Jan 2013.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga RM10,000, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa R. Lakshumana Rao dan peguam G. Subramaniam Nair mewakili tertuduh. - BERNAMA
Pegawai Polis Wanita Lepas Tuduhan Rasuah
Reviewed by Unknown
on
January 23, 2015
Rating:
No comments: