Seo Services

ADUN DAP Sarawak Dinasihati Bertanya Dulu sebelum Keluar Kenyataan


SIBU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan David Wong dinasihati supaya bertanya dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan mengenai aktiviti perniagaan pasar malam 24 jam di sini sempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC).

Pengerusi Persatuan Penjaja Pasar Malam Sibu (PPMS) Wong Kei Kwong berkata, beliau kecewa dengan tindakan David mengeluarkan kenyataan di laman sosial Facebook dan sebuah akhbar tempatan di sini tanpa bertanya dahulu kepadanya mengenai keadaan sebenar yang berlaku.

“YB, kalau ada apa-apa, tolonglah cari pengerusi persatuan, jangan sesuka hati mengeluarkan kenyataan di surat khabar dan Facebook.

“Jangan campur hal politik dengan kami kerana kami orang berniaga sahaja,” kata Wong di sini semalam.

David dalam Facebooknya pada 18 Februari lalu beranggapan bahawa tindakan Majlis Perbandaran Sibu (MPS) seolah-olah mempunyai perkara lain apabila tidak membenarkan penjaja pasar malam beroperasi selama 24 jam sempena TBC dan meletakkan sekatan ke atas gerai beroperasi di luar premis rumah kedai.

Menurutnya, MPS harus memberi penjelasan mengenai perkara tersebut kerana tradisi membuka gerai pasar malam 24 jam sempena TBC telah lama dilakukan.

Jelas Wong, ia tidak dapat diteruskan tahun ini kerana daripada lebih 100 penjaja hanya 11 penjaja sahaja mendaftar berniaga 24 jam sempena TBC.

Tambah Wong, tahun lalu kebanyakan penjaja hanya memperolehi kira-kira RM1,000 hasil daripada perniagaan pasar malam 24 jam.

“Saya mahu mengubah prinsip perniagaan ini dan untuk peniaga pasar malam hanya mencuba sesuatu yang baharu mungkin itu lebih baik untuk kami.

“Oleh itu, kami anjurkan karnival di Dataran Sibu Fasa 2 di sini,” katanya.

Pameran tersebut bermula pada 6 Februari hingga 8 Mac dan terdiri daripada 200 gerai dan kira-kira 60 peniaga adalah daripada penjaja pasar malam.

Katanya perniagaan di Dataran Bandar Sibu beroperasi dari jam 5 petang hingga 11.30 malam memberi keuntungan jauh lebih baik daripada perniagaan pasar malam 24 jam.

Justeru, Wong berharap pada tahun-tahun akan datang karnival seperti itu diteruskan bagi kebaikan penjaja di Sibu. - UB
ADUN DAP Sarawak Dinasihati Bertanya Dulu sebelum Keluar Kenyataan ADUN DAP Sarawak Dinasihati Bertanya Dulu sebelum Keluar Kenyataan Reviewed by Salfian Nawawi on February 24, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.