Seo Services

APMM Klang Rampas Rokok Seludup Bernilai RM142,400



Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Klang mematahkan cubaan menyeludup masuk 1,780 karton rokok tidak sah bernilai RM142,400 ke negara ini menggunakan bot pancung di perairan Pantai Acheh, Pulau Indah di sini, hari ini.

Ketua Penguatkuasa Maritim Klang Laksamana Pertama Maritim Mohd Aliyas Hamdan berkata bot tidak bernombor pendaftaran itu dikesan pada 3.45 pagi ketika sedang berhenti, dipercayai terkandas akibat air surut.

"Pemeriksaan lanjut menemui rokok tidak sah pelbagai jenama di dalam bot itu seperti Wismilak, Mild Menthol Semporna, Marlboro Merah dan Marlboro Light.

"Tekong bot disyaki warganegara Indonesia telah melarikan diri apabila menyedari kehadiran bot ronda APMM," katanya pada sidang media di sini, petang ini.

Mohd Aliyas berkata bot pancung itu dibawa ke jeti APMM Klang untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 kerana kesalahan membawa masuk atau menyeludup barang tanpa duti kastam.

APMM Klang akan meningkatkan lagi operasi terutama di laluan penyeludup bagi membanteras kegiatan penyeludupan rokok di negara ini, katanya.

Di KOTA KINABALU, APMM Kota Kinabalu menahan sebuah kapal nelayan tempatan kerana disyaki melanggar syarat sah lesen menangkap ikan malam tadi.

Pemangku Ketua Penguatkuasa Maritim Kota Kinabalu, Komander Maritim Mohamad Soharto Mat Said berkata kapal tersebut ditahan di perairan Syahbandar, Tuaran, kira-kira 7 malam kerana menangkap ikan di kawasan perairan kurang tiga batu nautika dari pesisir pantai.

Turut ditahan ialah enam anak kapal nelayan berkenaan termasuk lima warganegara Indonesia, yang berumur antara 20 dan 50 tahun.

"Hasil tangkapan kapal nelayan seberat 350 kilogram itu juga akan dilelong," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985, yang jika sabit kesalahan, pemilik kapal boleh didenda sehingga RM1,500 kerana kapal nelayan itu telah melakukan tiga kali kesalahan yang sama.

-- BERNAMA
APMM Klang Rampas Rokok Seludup Bernilai RM142,400  APMM Klang Rampas Rokok Seludup Bernilai RM142,400 Reviewed by Unknown on February 12, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.