KUANTAN: Seorang banduan dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini atas kesalahan membunuh seorang pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Gambang dua tahun lepas.
Mohd Faizal Mohd Yusof, 29, didapati bersalah membunuh Mohd Wiralieyzaan Ambiah pada 7.50 malam, 3 Feb 2013.
Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.
Ketika menjatuhi hukuman, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ab Karim Ab Rahman berkata, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Antara keterangan saksi, si mati telah dijerut dengan tali berwarna putih di bilik no 4, blok A, Puspen Gambang pada hari kejadian.
Mohd Faizal, yang sedang menjalani hukuman penjara 15 tahun kerana kes liwat, tidak menunjukkan sebarang reaksi ketika hukuman dijatuhi ke atasnya.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Hidayatul Syuhada Shamsuddin manakala tertuduh diwakili peguam Syed Azimal Syed Abu Bakar. - BERNAMA
Banduan Dihukum Gantung Bunuh Rakan Puspen
Reviewed by Unknown
on
February 24, 2015
Rating:
No comments: