MIRI: Seramai 17 penghuni dari tiga buah keluarga tinggal sehelai sepinggang setelah rumah mereka musnah dalam dua kebakaran berasingan di kawasan Krokop 3 dan Pulau Melayu di sini malam kelmarin dan tengah hari semalam.
Kejadian pertama berlaku sekitar jam 7.30 malam kelmarin melibatkan sebuah rumah berkembar dua tingkat di Jalan Sin Sin Yu, Krokop 3 di sini.
Kebakaran memusnahkan 80 peratus struktur rumah itu menyebabkan semua penghuninya, 11 orang dari dua buah keluarga tinggal sehelai sepinggang.
Selain itu, kebakaran dikatakan bermula di bahagian dapur turut merosakkan bumbung rumah jiran sebelah dan semasa kejadian hanya seorang penghuni berada dalam rumah berkenaan.
Berikutan itu, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri dengan kekuatan tujuh orang diketuai Pegawai Bomba Kanan II (PBKII) Sulaiman Julaihi bersama sebuah jentera pemadam bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung kes itu, jam 8.01 malam.
Turut menghulur bantuan sepasukan anggota BBP Lopeng terdiri lima orang diketuai PBKII Ellai Bidang bersama sebuah jentera pemadam.
Sementara kebakaran kedua, sebuah rumah setinggan di Kampung Pulau Melayu di sini musnah dijilat api menyebabkan semua penghuninya terdiri enam orang tinggal sehelai sepinggang.
Semasa kejadian sekitar jam 11.30 pagi, semua penghuni tiada di rumah dan hanya mengetahui kebakaran itu setelah diberitahu oleh jiran.
Menurut mangsa, Puni Buda, 58, semasa kejadian beliau keluar ke laut untuk menangkap bubuk, manakala anak perempuannya serta suami keluar rumah, dua orang cucu pergi ke sekolah dan seorang lagi cucunya berada di rumah sepupu.
“Semasa kejadian, saya sedang berada di laut menangkap bubuk dan hanya menyedari kebakaran itu setelah diberitahu seorang jiran yang datang mencari saya sehingga ke tengah laut.
“Serentak itu, saya bergegas pulang dan sebaik tiba di rumah semuanya telah musnah,” katanya dalam nada sedih.
Meskipun demikian, beliau tetap bersyukur kerana semua ahli keluarganya selamat.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Miri, Law Poh Kiong memberitahu kebakaran pertama melibatkan kerugian berjumlah RM330,000 dan kebakaran kedua dianggarkan RM45,000.
Sehubungan itu, Bomba menjalankan siasatan lanjut mengetahui punca sebenar kejadian kedua-dua kebakaran itu.-UB
Dua Kebakaran Di Miri Jejas Tiga Buah Keluarga
Reviewed by Unknown
on
February 25, 2015
Rating:
No comments: