Seo Services

Pemimpin BN Hadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Anjuran MCA


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran MCA di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman turut menghadiri majlis itu yang diadakan di Wisma MCA, Jalan Ampang.

Ketibaan Najib, Rosmah, Muhyiddin dan Noorainee, dengan berpakaian warna merah, di perkarangan Wisma MCA, disambut barisan kepimpinan tertinggi MCA yang diketui Presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai, sambil diiringi persembahan tarian singa.

Najib, Rosmah, Muhyiddin dan Noorainee yang meluangkan masa kira-kira sejam turut bersama beberapa pemimpin tertinggi komponen Barisan Nasional (BN) termasuk Liow dan Presiden MIC Datuk Seri G.Palanivel menggaul salad ikan mentah 'yee sang,' hidangan utama musim perayaan yang dianggap juadah membawa tuah dalam kalangan masyarakat Cina.

Turut hadir memeriahkan majlis sambutan termasuk Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam serta Naib Presiden Kanan Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk Seri Maglin Dennis D'Cruz.

Tetamu pelbagai bangsa serta pelancong asing turut hadir memeriahkan rumah terbuka itu sambil menyaksikan persembahan kebudayaan, nyanyian dan seni mempertahankan diri.

Terdahulu, Perdana Menteri ketika ditemu bual secara langsung oleh RTM di sini berkata sambutan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina yang dihadiri rakyat berlinag kaum itu melambangkan perpaduan masyarakat Malaysia.

"Saya percaya kesepaduan yang kita ada pada hari ini menjadi asas dan menunjukkan jati diri kita sebagai rakyat Malaysia untuk bersama-sama memperkukuhkan masa depan negara," katanya.

Najib turut mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya kepada masyarakat Cina.

Beliau berharap sambutan tahun ini iaitu Tahun Kambing akan membawa kemakmuran, kejayaan dan rezeki serta kebahagiaan dan kemakmuran kepada semua.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Najib berharap tahun 2015 akan memberikan kebaikan kepada rakyat dan negara ini.

"2014 merupakan tahun yang mencabar bagi negara ini (ditambah) dengan kejatuhan harga minyak. Jadi, kita berharap, kita akan dapat menjadikan 2015 tahun yang baik," katanya.

Tahun Baharu Cina merupakan perayaan terpenting masyarakat Cina bagi menyambut ketibaan tahun baharu dalam kalendar Lunar. - Bernama
Pemimpin BN Hadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Anjuran MCA Pemimpin BN Hadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Anjuran MCA Reviewed by Salfian Nawawi on February 19, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.