Seo Services

Persefahaman Dan Toleransi Tinggi Harus Dikekalkan


MIRI: Rakyat di negeri ini perlu mengekalkan persefahaman dan toleransi tinggi bagi memelihara perpaduan dalam masyarakat pelbagai kepercayaan, agama serta etnik.

Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga, Rosey Yunus memberitahu hanya melalui persefahaman dan toleransi tinggi, keamanan negeri ini dapat terus dikekal dan dinikmati bersama rakyat pelbagai etnik.

“Contoh paling jelas ialah upacara minum air tuak. Kita tahu ia budaya dan tradisi masyarakat Iban di rumah panjang setiap kali kita mengunjungi rumah panjang atau majlis,” katanya.

Namun jelas Rosey, kerana mengetahui umat Islam tidak boleh minum tuak, penduduk rumah panjang menukarnya ke air berkabornat atau air mineral.

“Tanpa menghilangkan budaya mereka, umat Islam boleh bersama-sama menyertai perayaan atau sebarang majlis yang dianjur di rumah panjang,” katanya.

Rosey memberitahu demikian semasa berucap di majlis perasmian Forum Pelbagai Agama Mengenai Kepercayaan dan Wanita anjuran Pusat Maklumat Islam (IIC) yang berlangsung di Pustaka Miri di sini, semalam.

Rosey menjelaskan, pada majlis seperti itu terserlah rasa hormat dan toleransi tinggi ditunjuk pelbagai kaum di negeri ini.

Katanya, semangat seperti inilah yang perlu dikekalkan agar semua kaum dapat aman dan hidup harmoni.

“Kita mahu masa depan anak dan generasi kita kelak terus kekal hidup aman damai dan harmoni tanpa timbul sebarang sengketa atau syak wasangka antara sama lain,”katanya.

Rosey memuji usaha IIC menganjur forum yang diadakan sempena Minggu Harmoni Antara Kepercayaan Dunia 2015.

Katanya, ia bukan sahaja memupuk persefahaman dalam kalangan rakyat berbilang agama di sini, tetapi membantu mengukuhkan perpaduan antara kaum dan saling menghormati.

“Saya percaya IIC banyak menganjur pelbagai program dan aktiviti menyatupadukan rakyat pelbagai latar belakang, kepercayaan dan agama untuk saling menghormati satu sama lain.

“Usaha seperti ini amat perlu, lebih-lebih lagi untuk sebuah negeri dihuni lebih 27 kumpulan etnik dengan kepercayaan dan tradisi masing-masing,” tambahnya.

Katanya, pada masa sama beliau berharap forum itu dapat memberi cahaya kepada peranan, sumbangan dan kedudukan wanita dalam pelbagai kepercayaan.

Jelasnya, penganjuran program itu adalah salah satu cara pihak berkaitan dan kerajaanmenyampai maklumat yang melibatkan interaksi interpersonal.


Hadir sama di majlis tersebut semalam ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) IIC, Zabariah Matali, ketua agensi agama Islam negeri serta wakil daripada pelbagai pertubuhan agama dan kepercayaan di Miri. - UB
Persefahaman Dan Toleransi Tinggi Harus Dikekalkan Persefahaman Dan Toleransi Tinggi Harus Dikekalkan Reviewed by JANUARIUS on February 11, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.