KUALA LUMPUR: Dua individu termasuk aktivis pelajar ditahan polis ketika mengadakan perhimpunan bagi menyatakan sokongan kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di hadapan sebuah pusat membeli-belah, Sabtu.
Mereka ialah Anggota Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fariz Musa dan bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Adam Adli Abd Halim.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainol Samah berkata dalam kejadiankira-kira pukul 4.10 petang itu, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kekecohan yang ditimbulkan dalam perhimpunan dipercayai dianjurkan oleh kedua-dua individu berkenaan.
"Ketika sampai di lokasi kejadian, polis mendapati sekumpulan penyokong itu melaungkan reformasi sambil memegang kain rentang hitam bertulis lawan tetap lawan," katanya ketika dihubungi Bernama.
Katanya beberapa orang termasuk kedua-dua individu terbabit turut menyampaikan ucapan provokasi dalam perhimpunan haram itu.
Zainol berkata kedua-dua mereka ditahan mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan kerana berhimpun menyalahi undang-undang.
Pada 10 Februari lepas, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Anwar dan mengekal kansabitan dan hukuman penjara lima tahun dihadapinya bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 26 Jun, 2008.
Anwar kini ditahan di Penjara Sungai Buloh, Selangor. - mStar
Polis Tahan Fariz, Adam Adli Cetus Ucapan Provokasi
Reviewed by Salfian Nawawi
on
February 22, 2015
Rating:
No comments: