Seo Services

Rakyat Ditegah Pakai Pakaian Tertera Tulisan Ayat Al-Quran


LUNDU: Rakyat di negara ini ditegah memakai pakaian yang mempunyai tulisan ayat suci al-Quran untuk menjaga kesuciannya, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Menurut beliau, masih ada sesetengah pihak berpendapat memakai pakaian bertulis ayat al-Quran mampu melindungi diri serta menjadi kebal.

“Perkara ini dapat disaksikan oleh rakyat di negara jiran yang memakai baju-T, sapu tangan, selimut termasuk seluar dalam bertulis ayat suci al-Quran agar kebal ditembak. Perkara sebegini diharamkan oleh Mazhab Shafi’e yang kita amalkan di Malaysia.

“Jadi, sekiranya terjumpa pakaian mahupun apa sahaja yang dipakai tertulis ayat suci al-Quran di negara jiran, sebaiknya jangan beli,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mahu masyarakat Islam menetapkan keyakinan dan percaya kepada al-Quran itu sendiri dengan membacanya bagi melindungi diri dan bukannya diletakkan pada pakaian sebagai azimat.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Festival Penghayatan Al-Quran sempena Majlis Tilawah Al-Quran dan Pertandingan Nasyid Bahagian Kuching di Dewan Masyarakat Lundu, semalam.

Bukan itu sahaja, tegasnya, kemungkinan orang yang memakai pakaian tertulis ayat al-Quran juga boleh ditahan pihak berkuasa untuk disiasat dan ini pastinya mendatangkan masalah lain pula.

Dalam pada itu, Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong menggesa ibu bapa agar memantau perkembangan dan pergaulan anak-anak mereka agar tidak terseleweng dengan nama ‘perjuangan.’

“Baru-baru ini, polis berjaya menahan seorang gadis berusia 14 tahun yang disyaki cuba menyertai kumpulan militan IS di Syria ketika cuba meninggalkan negara ini melalui Mesir kononnya ingin berkahwin di sana.

“Perkara ini sungguh bahaya, justeru, peringatkanlah anak-anak kita tidak kira setinggi manapun ilmu dan pendidikannya kerana mereka tetap boleh dipengaruhi melalui media sosial, blog, kawan atau penulisan,” jelasnya.

Menyentuh mengenai Festival Penghayatan Al-Quran di Lundu itu, Wan Junaidi berharap lebih ramai masyarakat dapat memeriahkan aktiviti keagamaan seperti dianjurkan itu dengan membawa anak-anak, bukan semasa aktiviti berbentuk hiburan sahaja.

Hadir sama pada majlis tersebut isteri beliau Datin Seri Fiona Sim, Residen Bahagian Kuching Shukarmin Chasemon dan Pegawai Daerah Lundu Hamsein Atar. - UB
Rakyat Ditegah Pakai Pakaian Tertera Tulisan Ayat Al-Quran Rakyat Ditegah Pakai Pakaian Tertera Tulisan Ayat Al-Quran Reviewed by Salfian Nawawi on February 22, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.