Seo Services

Hasil Laut Nelayan Miri Dirompak

Gambar Hiasan

MIRI : Nelayan tempatan terpaksa berkongsi hasil laut dengan nelayan warga asing apabila lebih 10 bot tidak berdaftar dengan Jabatan Perikanan Sarawak dipercayai mengaut bubuk di perairan Miri.

Nelayan tempatan mendakwa, nelayan asing ini dipercayai datang dari Suluk, Filipina dan mengambil kesempatan menangkap ikan serta hasil laut lain terutama pada musim bubuk.

“Nelayan asing ini tidak memiliki lesen dikeluar Jabatan Perikanan untuk menangkap ikan di perairan Sarawak. Mereka menjadi dalang penangkapan ikan secara haram,” kata seorang wakil komuniti dilantik menjadi mata dan telinga Jabatan Perikanan Sarawak semalam.

Menurut pengadu, nelayan tempatan ketika ini bimbang dengan jumlah nelayan asing di perairan Miri semakin meningkat dan jika tiada sebarang tindakan susulan, ia akan menjejaskan hasil nelayan tempatan.

“Mereka turun ke laut dengan bot sendiri, kadangkala mengguna jaring ikan secara haram semata-mata untuk mengaut hasil pinggir laut.

“Kami berharap agensi kerajaan peka dengan masalah nelayan tempatan dan segera menyelesaikannya sebelum lebih parah,” katanya.

Beliau menggesa wakil rakyat setempat tampil membantu dengan membawa isu ini kepada kerajaan kerana jika tidak, sumber hasil laut Sarawak akan terus dikaut nelayan Suluk.

“Setahu saya hanya nelayan memiliki kad pengenalan dengan nombor 13 (Sarawak) sahaja dibenar menangkap ikan di sini. Jika mereka bukan warganegara, ia adalah hasil tangkapan haram,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, satu dialog telah diadakan bersama Agensi Penguatkuasa Maritim, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Perikanan berkenaan isu ini.

Namun, dialog itu masih belum cukup untuk membanteras kegiatan nelayan asing di perairan negara dan ia telah mengecewa ramai nelayan tempatan.

Kamberi Bakar, 50, dari Kampung Piasau Utara berkata, sebelum ini ramai nelayan telah mengenengah isu berkenaan dengan beberapa dokumen serta aduan namun sehingga kini tiada tindakan diambil pihak berkaitan.

Beliau memberitahu nelayan asing ini tinggal di pinggir pantai sepanjang Lapangan Terbang Lama Lutong, Batu 5, Lutong-Kuala Baram serta kawasan berhampiran jambatan Pujut 7.

“Kita sebagai nelayan bukan sahaja terpaksa bersaing menangkap ikan. Tetapi pada musim rezeki lebih seperti musim bubuk, mereka juga turun kaut untung lebih.

“Ini sekali gus menjejaskan ekonomi nelayan tempatan. Jika tidak ada jalan segera mengatasinya, kami akan terus tertindas dan hasil laut kita terus dikaut orang asing,” katanya.-BP
Hasil Laut Nelayan Miri Dirompak Hasil Laut Nelayan Miri Dirompak Reviewed by Unknown on March 12, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.