KUALA LUMPUR - Aduan terhadap hak kewarganegaraan serta kebebasan asasi dan keselamatan diri adalah tertinggi diterima Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bagi tahun 2014.
Laporan Tahunan Suhakam 2014 memetik 97 aduan terhadap hak kewarganegaraan diterima di Sabah, 12 aduan diterima di Kuala Lumpur manakala hanya satu aduan diterima di Sarawak.
Sementara 49 aduan berhubung kebebasan asasi dan keselamatan diri diterima suruhanjaya itu di Kuala Lumpur dan hanya satu di Sarawak.
Suhakam dalam Laporan Tahunan 2014 hari ini memberitahu suruhanjaya itu menerima sejumlah 717 aduan berhubung hak asasi manusia sepanjang 2014.
"Daripada jumlah itu 269 aduan adalah di luar bidang kuasa suruhanjaya menjadikan daripada 448 aduan yang diterima, 195 kes telah dapat diselesaikan dan jumlah keseluruhan aduan meningkat 93 kes berbanding 2013," menurut laporan itu.
Menurut laporan itu, aduan yang terendah diterima Suhakam pula ialah aduan berhubung kebebasan berpendapat dan bersuara; hak untuk turut serta dalam pentadbiran negara; hak alam sekitar; dan hak untuk menikmati masa lapang yang masing-masing berjumlah satu aduan.
Laporan itu juga memetik antara isu berbangkit daripada aduan diterima suruhanjaya itu ialah isu tangkapan dan penahanan; isu gesaan pelajar universiti untuk pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku); isu empangan Murum di Sarawak; isu hak pekerja; serta isu pelarian dan pencari suaka.
Laporan Tahunan Suhakam 2014 setebal 241 muka surat memaparkan 10 isu utama iaitu laporan Inkuiri Nasional hak tanah orang asal (Laporan NI); pelan tindakan hak asasi manusia nasional (NHRAP); kematian dalam tahanan polis; hak kepada kesihatan di penjara; dan pendidikan hak asasi di sekolah.
Laporan itu turut menyentuh berhubung isu alternatif kepada penahanan imigresen terhadap kanak-kanak; hak asasi manusia dan perniagaan; penilaian penggalan sejagat (UPR); kebebasan berhimpun; serta kajian semula terhadap beberapa undang undang. - Bernama
Aduan kewarganegaraan, kebebasan tertinggi 2014
Reviewed by Admin
on
April 15, 2015
Rating:
Reviewed by Admin
on
April 15, 2015
Rating:

No comments: