Seo Services

AIFFA Perkongsian Bagi Masyarakat Negara ASEAN


KUCHING: Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) bukan sekadar landasan merebut gelaran terbaik dalam perfileman, tetapi satu perkongsian bagi masyarakat negara ASEAN yang mencecah populasi 620 juta keseluruhannya.

Demikian kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem semasa mengalu-alukan kedatangan delegasi daripada 10 negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) sempena AIFFA 2015, malam kelmarin.

“Menjadi kebanggaan Sarawak menganjurkan AIFFA sekali lagi tahun ini.

“Sehubungan itu, kami mengalu-alukan kedatangan anda semua ke bandar raya Kuching, satu-satunya bandar di dunia yang dinamakan sempena nama haiwan (kucing) ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya yang telah dirakam dan disiarkan sempena AIFFA 2015 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini.
Adenan turut meluahkan kebanggaan negeri dan negara ini apabila menerima kehadiran beratus komuniti industri perfileman untuk kali kedua penganjurannya, terakhir pada Mac 2013.

“Saya difahamkan, Sarawak mendapat sokongan daripada Menteri Pelancongan negara ASEAN sebagai lokasi tetap acara ini,” jelasnya sambil menambah, tahun 2015 turut menjadi tahun yang hebat bagi Malaysia kerana dipilih menjadi pengerusi bagi ASEAN.

Adenan turut memberitahu, slogan ASEAN tahun ini iaitu ‘One People, One Community, One Vision’ selaras dengan matlamat penganjuran AIFFA sebagai tunjang penyatuan 10 negara dalam ASEAN dalam aspek perfileman.

“Tahun ini juga merupakan Tahun Festival Malaysia dan AIFFA merupakan salah satu acaranya.

“Dengan lebih 60 filem diterima daripada pelbagai negara, pastinya ramai pelakon dan kru berkumpul bagi meraikan anugerah ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Adenan percaya kehadiran komuniti industri perfileman selama dua tahun sekali dapat mengukuhkan rangkaian dan kerjasama bagi mencapai wawasan dan objektif bersama untuk industri filem ASEAN.

“Kita berasa sungguh gembira kerana Sarawak akan menjadi lokasi bagi lima filem bermula tahun ini. Terima kasih,” ujarnya.

Turut hadir pada majlis tersebut, isteri Yang di-Pertua Negeri Toh Puan Ragad Kurdi Taib, isteri Ketua Menteri Datin Patinggi Puan Sri Datuk Jamilah Anu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Hadir sama memeriahkan majlis tersebut Tan Sri Michelle Yeoh dan Datuk Jackie Chan. - UB
AIFFA Perkongsian Bagi Masyarakat Negara ASEAN AIFFA Perkongsian Bagi Masyarakat Negara ASEAN Reviewed by Salfian Nawawi on April 13, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.