Seo Services

‘Fit Malaysia’ Di Sarawak Yang Terbaik - Khairy


KUCHING: Sambutan ‘Fit Malaysia’ yang berlangsung di Padang Merdeka di sini semalam merupakan yang terbaik dengan penyertaan lebih daripada 10,000 peserta.

Melihat kepada sambutan melebihi jangkaan 6,000 peserta ini, kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan akan menganjurkan Fit Malaysia di negeri ini sekali lagi dan kali ini di bandar raya Miri.

Pada sidang media selepas pelancaran Fit Malaysia semalam, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata Sarawak merupakan antara negeri paling komited dalam program Fit Malaysia untuk menjadikan Malaysia negara bersukan.

“Oleh kerana Sarawak begitu komited ke atas program ini, maka saya telah memaklumkan kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem bahawa Fit Malaysia akan kembali ke Sarawak dalam masa terdekat dan kali ini di Miri,” ujarnya.

Terdahulu ketika berucap pada pelancaran Fit Malaysia, Khairy berkata Sarawak merupakan negeri keenam dalam siri jelajah Fit Malaysia di seluruh negara.

Fit Malaysia katanya bertujuan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan.

“Kita mempunyai terlalu ramai rakyat Malaysia yang tidak sihat, obesiti, menghidap penyakit kencing manis dan pelbagai penyakit kronik yang lain.

“Dalam usaha kita menjadikan Malaysia sebagai negara bersukan Perdana Menteri telah umum setiap tahun pada hari Sabtu kedua setiap Oktober kita akan menyambut Hari Sukan Negara di seluruh Malaysia dan tahun ini ia akan diadakan serentak pada 10 Oktober 2015,” ujarnya.

Sementara itu Ketua Menteri dalam ucapan ringkasnya pada pelancaran Fit Malaysia semalam menyatakan rasa gembira dengan penyertaan begitu ramai masyarakat dalam program berkenaan.

Sempena program itu semalam, beliau menasihati rakyat menjaga kesihatan masing-masing agar sentiasa cergas dan sihat dalam kehidupan seharian.

Dalam pada itu pelbagai aktiviti diadakan sempena Fit Malaysia semalam, antaranya larian 5km dan 10km, kayuhan 10km dan 30km, zon mempertahankan diri, zon kecergasan, zon ekstrem, zon kanak-kanak dan aktiviti-aktiviti sampingan yang lain.

Turut hadir pada majlis pelancaran semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin serta Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah. - UB
‘Fit Malaysia’ Di Sarawak Yang Terbaik - Khairy ‘Fit Malaysia’ Di Sarawak Yang Terbaik - Khairy Reviewed by Salfian Nawawi on April 13, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.