Barisan Nasional (BN) terus komited dalam memastikan kebebasan beragama di kalangan masyarakat bukan Islam sebagai dasar kerajaan persekutuan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata perpaduan yang diamalkan sejak sekian lama di negara ini, sentiasa menjadi contoh kepada negara-negara lain, dan masyarakat Malaysia harus berbangga serta berusaha mengekalkan nilai murni itu.
“Negara kita sudah merdeka lebih 57 tahun.. dan negara kita telah capai banyak kemajuan dan pembangunan. Ini kerana kita berjaya wujudkan persefahaman baik antara kaum dan agama di negara ini berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.
“Walaupun Islam agama rasmi Persekutuan, kedudukan agama lain di di Malaysia tetap terjamin. Ini adalah perkara yang saya sebut tadi terjamin…(dan) selagi BN berkuasa kita akan pastikan kebebasan beragama terus dipelihara,” katanya.
Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden UMNO dan Pengarah Utama Jentera BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh, berkata demikian ketika berucap di hadapan masyarakat Siam di Wat Rajaphohong, Kampung Teluk Wang, di sini hari ini.
Turut hadir di majlis itu Presiden Parti Gerakan Datuk Mah Siew Keong, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman, Ketua Parti Gerakan bahagian Permatang Pauh Koo Sin, dan calon BN bagi PRK Permatang Pauh Suhaimi Sabudin.
Dalam ucapannya, Muhyiddin menegaskan adalah penting bagi keamanan terus dikekalkan bagi membolehkan Kerajaan Persekutuan memberi tumpuan kepada agenda pembangunan demi kemakmuran rakyat.
Timbalan Perdana Menteri berkata sekiranya berlaku konflik antara agama, kecurigaan, serta pergaduhan berterusan antara masyarakat di negara ini, sudah pasti ia akan mengakibatkan Malaysia menjadi mundur, dan akhirnya membawa kesengsaraan di kalangan rakyat.
“Ini semua rakyat Malaysia, ini negara kita dan kita semua hidup dan mati di sini. Sebab itu BN perlu jaga supaya tidak berlaku pergaduhan atau krisis, demi memastikan kita dapat menumpukan masa membangunkan negara.
“Kita tahu negara kita selamat,..(tetapi) kita (adakalanya) tidak menghargai keamanan itu kerana kita tak buat penilaian. Tetapi kalau kita pergi ke negara yang sedang bergolak, kita dapat lihat rakyat miskin hingga susah mendapat makanan,” katanya. - Bernama
Kebebasan Agama Akan Terus Terpelihara
Reviewed by Unknown
on
April 30, 2015
Rating:
No comments: