Seo Services

Kerajaan Akan Membela Nasib Mangsa Flat Runtuh


SIBU : Kerajaan melalui Suruhanjaya Pembangunan Perumahan (HDC) mempertimbangkan untuk membina semula atau memberi flat baharu kepada mangsa flat runtuh di Sibu Jaya.

Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh berkata, ia bergantung kepada tempoh siasatan yang dijalankan.

“Keputusan sama ada memberi mangsa sebuah flat baharu atau membina semula flat terbabit akan diketahui selepas tempoh siasatan selesai.

“Sekarang kita biarkan pihak yang berkenaan menjalankan siasatan. Orang ramai dinasihati agar tidak membuat sebarang spekulasi sehingga tempoh siasatan selesai,” ujarnya ketika ditemui media selepas melawat mangsa-mangsa di Dewan Serba Guna Sibu Jaya di sini, semalam.

Turut mengiringi beliau ialah Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Datuk Tiong Thai King dan Setiausaha Politik Ketua Menteri Pau Kiew Chuan.

Wong yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat memberitahu, para mangsa akan ditempatkan di dewan tersebut sekitar seminggu atau 10 hari.

“Selepas itu, mangsa akan dipindahkan ke flat sementara seperti mangsa-mangsa kebakaran Kampung Datu/Hilir dulu. Bekalan elektrik dan air bersih akan disambung kepada rumah mangsa-mangsa.

“Ini kerana menempatkan mangsa-mangsa di dewan dalam keadaan terlalu lama adalah tidak sesuai memandangkan mereka semua sudah berkeluarga dan mempunyai anak-anak kecil.

“Kita akan menguruskan mangsa-mangsa terbabit dengan lebih sempurna demi keselesaan mereka. Diharap mangsa-mangsa terbabit bersabar,” tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan itu.

Wong turut melahirkan rasa simpati kepada mangsa-mangsa dan berjanji akan memantau keadaan mereka dari semasa ke semasa.

“Kita difahamkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Sibu akan menyediakan sebanyak empat kali hidangan iaitu sarapan pagi, makan tengah hari, minum petang dan makan malam kepada semua mangsa terlibat.

“Selain itu, agensi kerajaan yang lain turut menjaga kebajikan lain mangsa terlibat demi keselesaan mereka. Keselesaan mangsa adalah keutamaan kita,” jelasnya.

Bercakap mengenai bekalan selimut, tilam, bantal dan keperluan lain, beliau dan Tiong akan menambah keperluan tersebut kerana ia kini tidak mencukupi untuk mangsa-mangsa.

“Seberapa banyak keperluan mangsa akan saya dan Tiong penuhi dengan segera,” tambahnya.
Sehubungan itu, Parti Rakyat Bersatu (UPP) Cawangan Dudong yang juga dipengerusi Tiong telah menyampaikan sumbangan air mineral kepada mangsa.

Selain itu, syarikat KTS Trading Sdn Bhd turut menyampaikan mi segera kepada mangsa-mangsa terbabit.

Sumbangan daripada KTS Trading Sdn Bhd itu diserahkan oleh Kevin Lau yang mewakili Temenggung Vincent Lau.

Sementara itu, JKM Bahagian Sibu akan membantu memberi peralatan sekolah termasuk pakaian kepada anak-anak mangsa yang terlibat. - BP
Kerajaan Akan Membela Nasib Mangsa Flat Runtuh Kerajaan Akan Membela Nasib Mangsa Flat Runtuh Reviewed by Unknown on April 13, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.