KUCHING: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) telah membelanjakan RM350 juta kepada vendor Sarawak bagi suku pertama tahun ini, kata Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 80 syarikat tempatan telah berjaya mendapatkan kontrak bersama Petronas bagi tempoh sama berdasarkan bidaan kompetitif.
“Sarawak bukan hanya seorang penonton dalam industri minyak dan gas, namun sebagai peserta aktif terutama bagi sumber gas dan minyak di perairan negeri ini.
“Saya gembira dengan Petronas yang bersama-sama mendokong polisi kita dengan memberikan keutamaan kepada syarikat Sarawak dalam industri ini,” katanya berucap dalam Majlis Penghargaan Kontraktor Sarawak Petronas di sebuah hotel di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Pembangunan Tanah, Datuk James Jemut Masing dan Pengerusi Petronas, Tan Sri Sidek Hassan. Dalam majlis tersebut, seramai 80 vendor dianugerahkan kontrak dan 13 kontraktor tempatan menerima anugerah penghargaan di atas perkhimatan cemerlang diberikan kepada anak-anak syarikat Kumpulan Petronas di negeri ini.
Mengulas lanjut, Adenan berkata, pihaknya juga akan menubuhkan satu jawatankuasa bagi memantau penglibatan dalam industri tersebut bagi melihat prestasi vendor Sarawak.
“Jangan hanya pandai meminta kontrak, namun tidak boleh menyampaikan perkhidmatan.
“Kita perlu bersedia untuk menjadi peserta aktif, bukannya menjadi penonton atau Ali Baba dengan subkontrak kepada orang lain,” ujarnya.
Dalam pada itu, Adenan memberitahu, seperti mana dimaklumkan sebelum ini, Petronas bersetuju memperuntukan setiap tahun sebanyak RM2.1 bilion yang merupakan minimum perbelanjaan bagi kontrak kepada vendor Sarawak.
Namun, katanya, disebabkan keadaan harga minyak dunia semasa yang rendah, Petronas menganggarkan pengurangan perbelanjaan tahun ini sebanyak 15 hingga 20 peratus berbanding RM2.4 bilion pada tahun lalu.
Mengenai permohonan kerajaan negeri untuk mendapatkan kenaikan royalti daripada lima kepada 20 peratus, beliau berkata, masih tiada perkembangan berhubung perkara tersebut tetapi beliau telah memaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. - UM
Vendor Sarawak Terima RM350 juta
Reviewed by Salfian Nawawi
on
April 25, 2015
Rating:
Reviewed by Salfian Nawawi
on
April 25, 2015
Rating:

No comments: