Seo Services

Sarawak Hab LNG Utama


KUCHING: Keputusan pelaburan dalam sektor minyak dan gas memerlukan perancangan teliti dan projek yang dicadangkan hendaklah berdaya saing.

Menteri Muda Pembangunan Perindustrian negeri, Datuk Julaihi Narawi berkata, keputusan tersebut juga bergantung kepada keperluan pasaran dan perkembangan permintaan terhadap hasil minyak dan gas.

“Buat masa ini, Sarawak telah pun dibangunkan sebagai salah satu hab gas asli cecair (LNG) yang utama dan dikenali di seluruh du­nia melalui Kompleks LNG Petronas.

“Ia telah beroperasi lebih dari 30 tahun dan telah menjana limpah­an ekonomi yang besar kepada Sarawak dan rakyatnya termasuk peluang pelaburan tempatan, peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan pembangunan tenaga kerja mahir dalam sektor mi­nyak dan gas,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Aidel Lariwoo (BN-Sadong Jaya) dalam Mesyuarat Pertama bagi Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-17, di sini hari ini.

Tambahnya, Petroliam Nasio­nal Berhad (Petronas) juga telah membina terminal minyak yang telah pun sedia beroperasi iaitu Miri Crude Oil Terminal (MCOT) di Miri dan Bintulu Crude Oil Terminal (BCOT) di Bintulu.

“Selain itu, projek-projek mega lain yang akan dilaksanakan di Sarawak seperti projek Train 9 dan projek Floa­ting LNG 1 (FLNG1) akan me­ngukuhkan lagi kedudukan Sarawak sebagai hab LNG di mata dunia.

“Selain daripada LNG, Petronas juga terlibat dalam pengusahaan loji ASEAN Bintulu Fertilizer (ABF) yang mengeluarkan produk seperti urea dan ammonia untuk pasaran eksport yang telah beroperasi di Bintulu sejak 1983 lagi,” ujarnya. - UM
Sarawak Hab LNG Utama Sarawak Hab LNG Utama Reviewed by Salfian Nawawi on April 25, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.