KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem sentiasa menjadi kesayangan tatkala beliau dikerumuni mahasiswa dan golongan profesional dari Sarawak ketika lawatannya ke London, baru-baru ini.
Beliau yang dalam rangka lawatan kerja ke situ sejak 4 Mei lalu berkesempatan beramah mesra dan bersua muka dengan mahasiswa Sarawak dan profesional yang menuntut serta bekerja di England, di Suruhanjaya Tinggi Malaysia yang juga merupakan sebahagian daripada acara lawatan kerjanya.
“Ketua Menteri (Adenan) sanggup meluangkan masanya untuk bertemu dengan rakyat tempatan (pelajar dan pekerja) di England semasa lawatan kerja beliau, malah ada juga rakyat tempatan kita (Sarawak) yang datang jauh dari Scotland semata-mata mahu bertemu dengan beliau.
“Lebih menggembirakan, rakyat yang berkesempatan berjumpa dengan beliau sangat terharu dengan sikapnya yang sentiasa jujur, rendah hati dan kelurusan beliau ketika berinteraksi dengan rakyat,” kata pembantunya yang turut mengikuti lawatan kerja beliau yang dipetik menerusi kenyataan akhbar, semalam.
Adenan turut ditemani isteri, Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu dan Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani.
Hadir sama ialah 16 ahli delegasi lawatan termasuk Setiausaha Tetap Kementerian Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Datu Sudarsono Othman, bekas Ketua Peguam Negeri Datuk J.C Fong, Pengarah Yayasan Sarawak Datu Abu Bakar Marzuki, Pengarah Perhutanan Negeri Sapuan Ahmad dan Pengurus Besar SALCRA Datu Vasco Sabat Singkang.
Adenan dipetik sebagai berkata, sewaktu lawatan kerjanya itu beliau berkongsi mengenai pembangunan terkini Sarawak, terutama visinya dalam memacu pembangunan sosial dan ekonomi yang dinamik selain polisi baharunya yang lebih menjurus ke arah kesederhanaan, menghalang kemasukan pengaruh negatif yang memecahbelahkan perpaduan kaum, pembanterasan aktiviti pembalakan haram serta pelaksanaan tambang feri serendah RM1.
Mahasiswa serta penduduk tempatan yang menetap di England juga mendedahkan mereka amat menyukai isi kandungan ucapan yang disampaikan Adenan, tidak kira melalui laman YouTube, Facebook mahupun kecanggihan laman media sosial yang lain.
Dalam lawatan kerja itu Adenan turut bertemu dengan kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar di mana beliau berkongsi maklumat tentang pengurusan dan pentadbiran hutan selain kelestarian polisi dan amalan sedia ada di Sarawak. - UB
Adenan Beramah-Mesra Dengan Mahasiswa, Profesional Sarawak Di London
Reviewed by Salfian Nawawi
on
May 07, 2015
Rating:
Reviewed by Salfian Nawawi
on
May 07, 2015
Rating:

No comments: