Seo Services

Celcom Beri Sokongan Kepada Cadangan Menteri Berhubung Nilai Prabayar


KUALA LUMPUR: Syarikat telekomunikasi utama, Celcom Axiata Bhd memberi sokongan penuh kepada cadangan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek untuk mendapatkan nilai muka RM10, bagi setiap pembelian kad tambah nilai prabayar RM10.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Shazalli Ramly berkata beliau memberikan sokongan 100 peratus dalam pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan bagi perkhidmatan prabayar.

Baca: Ahmad Shabery Mahu Formula 'Beli RM10, Dapat RM10' Untuk Kad Prabayar Telefon

"Kami masih tidak tahu bagaimana penilaian beliau, tetapi kami akan memberikan sokongan penuh untuk manfaat rakyat Malaysia pada amnya.

"Saya amat yakin bahawa menteri kita, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek akan mencari penyelesaian terbaik untuk semua," katanya kepada Bernama.

Ahmad Shabery dalam sebuah program terbitan RTM malam ini berkata beliau akan berusaha memastikan rakyat dapat menikmati pembelian kad tambah nilai prabayar telefon dengan formula 'beli RM10, dapat RM10'.

Beliau berkata pendiriannya itu akan diketengahkan dalam pertemuannya dengan peneraju syarikat-syarikat telekomunikasi di negara ini sebelum dibawa ke Kabinet untuk keputusan seterusnya.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia sebelum ini mengarahkan syarikat telekomunikasi menetapkan semula harga kad prabayar telefon kepada harga asal iaitu seperti sebelum pelaksanaan CBP pada 1 April.

Namun, arahan yang sepatutnya berkuatkuasa 1 Mei itu ditangguh selepas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia membuat kenyataan bahawa kad prabayar akan terus dijual dengan caj CBP dan agak mustahil bagi penyedia perkhidmatan melaksanakan perubahan yang diperlukan dalam tempoh dua hari.- BERNAMA
Celcom Beri Sokongan Kepada Cadangan Menteri Berhubung Nilai Prabayar Celcom Beri Sokongan Kepada Cadangan Menteri Berhubung Nilai Prabayar Reviewed by Unknown on May 05, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.