SERIAN: Seorang warga Indonesia ditemui dalam keadaan tidak bernyawa di sebuah kediaman tidak bernombor di Kampung Krangan Tekalong, Balai Ringin, dekat sini, semalam.
Dalam insiden sekitar jam 8 malam Ahad, mangsa yang berumur 41 tahun dikatakan minum minuman keras (langkau dan tuak) bersama rakan-rakan senegara.
Bagaimanapun, mangsa secara tiba-tiba naik angin lalu memarahi isterinya.
Mangsa dikatakan telah mendakwa isterinya tidak jujur dengannya apabila mempunyai kekasih lain.
Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah Samarahan ASP Aldrin Junaidi Kutoi yang mengesahkan kes itu berkata, pertengkaran antara suami isteri tersebut berlaku sejurus selepas itu.
“Mangsa mengangkat sebatang kayu tetapi tiba-tiba seorang rakannya (suspek) juga dari Indonesia keluar dan memegang bahu mangsa.
“Mangsa menepis dan berlaku pertengkaran dengan suspek… suspek sejurus itu menggunakan kayu tersebut untuk memukul bahagian belakang mangsa sebanyak dua kali hingga rebah,” katanya yang memangku jawatan ketua polis daerah Serian sementara DSP Chung Aik Peng bercuti.
Difahamkan bahawa suspek, rakan-rakan mangsa dan isteri mangsa melarikan diri selepas kejadian itu.
Mangsa difahamkan masih bernyawa ketika mereka meninggalkan tempat kejadian.
Namun apabila isterinya pulang ke rumah pada jam 6 pagi, mangsa didapati telah meninggal dunia.
Pihak polis IPD Serian yang dimaklumkan tentang kejadian itu bergegas ke rumah tersebut.
Konsulat Indonesia telah dimaklumkan mengenai kematian mangsa yang telah dibawa ke Hospital Serian untuk proses bedah siasat. Suspek kes sedang dikesan.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan oleh ASP Mohd Farzi Yusof. - UB
Isteri Dituduh Curang Mati Dipukul Suami Mabuk
Reviewed by Salfian Nawawi
on
May 05, 2015
Rating:
Reviewed by Salfian Nawawi
on
May 05, 2015
Rating:

No comments: