ROMPIN: Masyarakat Cina diminta supaya tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang berhubung pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP), kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Beliau berkata CBP adalah sistem percukaian yang baik dan efisien untuk menambah pendapatan negara, kerana pendekatan 'siapa pakai dia bayar' lebih adil termasuk kepada rakyat asing yang berada di negara ini.
Rakyat asing selama ini menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan kerajaan termasuk kemudahan perubatan yang baik, jalan raya dan barangan bersubsidi sedangkan mereka tidak membayar cukai, katanya.
"Sebab itu kita kena ikut CBP yang dilaksanakan oleh lebih 160 negara di dunia. Pendapatan yang kita dapat dari CBP, kita akan pulang balik kepada rakyat menerusi pelbagai program," katanya.
Ahmad Shabery berkata demikian semasa berucap pada majlis makan malam dan ramah mesra bersama Komuniti 1Malaysia (K1M) Bandar Baru Rompin di sini, Khamis.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Wee Ka Siong; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad; Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Datuk Ibrahim Abdul Rahman; Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Zakaria Abdul Wahab dan Ketua Pemuda MCA Senator Chong Sim Woon.
Ahmad Shabery juga berkata pelaksanaan CBP yang bermula sejak 1 April lalu, dilakukan mengikut 'acuan' Malaysia, supaya rakyat negara ini tidak terbeban dengan kos sara hidup.
"Kita tak kenakan CBP pada barang makanan asas. Malah naik pengangkutan awam juga kita kecualikan CBP untuk bantu rakyat. Malah untuk rakyat yang kurang berkemampuan juga kerajaan beri Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)," katanya.- BERNAMA
Isu CBP: Masyarakat Cina Diminta Tidak Terpengaruh Dakyah Pembangkang - Shabery
Reviewed by Unknown
on
May 01, 2015
Rating:
No comments: