Seo Services

Taman Allamanda Indah Bakal Memiliki Surau


KUCHING: Penantian lebih 17 tahun penduduk Taman Allamanda Indah untuk memiliki surau berakhir selepas kerajaan meluluskan projek itu.

Malah, lebih menggembirakan, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof selaku Ahli Parlimen Petra Jaya turut menyumbang peruntukan tambahan sebanyak RM30,000 untuk surau tersebut.

Projek pembinaan surau yang menelan kos lebih RM400,000 itu dijangka akan bermula pada Jun depan di bawah Majlis Islam Sarawak (MIS).

Fadillah dalam ucapannya berkata beliau menyokong setiap permohonan rakyat di kawasannya terutama melibatkan keperluan dan kemudahan masyarakat di situ.

“Apa sahaja perancangan dan program yang anda mahu jalankan yang memberi manfaat kepada penduduk di sini buatlah kertas kerja kepada saya, insya-Allah saya akan pertimbangkan untuk diluluskan,” katanya pada Majlis Sukaneka dan Pasaria di Taman Allamanda Indah, Matang di sini, semalam.

Program itu merupakan anjuran bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Allamanda Indah, Ranting PBB Taman Allamanda Indah, Komuniti 1Malaysia Taman Allamanda Indah, Taman Malihah dan Kolong 1 Kawasan Kuching.

Pada masa sama, Fadillah mengingatkan rakyat negeri ini tidak terikut-ikut dengan budaya ekstrem dari Semenanjung Malaysia.

“Sarawak adalah negeri yang unik dengan rakyatnya walaupun berbeza latar belakang namun kita masih tetap dapat hidup bersama.

“Jadi janganlah mudah terikut-ikut dengan budaya melampau yang datang dari Semenanjung Malaysia seperti yang berlaku baru-baru ini di ibu negara (Kuala Lumpur),” tegasnya.

Justeru, beliau berharap rakyat negeri ini dapat terus mempertahankan semangat perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama agar perpaduan dan persefahaman sentiasa dipelihara dengan baik. - UB
Taman Allamanda Indah Bakal Memiliki Surau Taman Allamanda Indah Bakal Memiliki Surau Reviewed by Salfian Nawawi on May 04, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.