KUCHING: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan tiga penambahbaikan untuk kebajikan pekerja iaitu memperluaskan cuti tanpa rekod untuk kakitangan awam bagi kes kematian.
Perdana Menteri dilaporkan Berita Harian sebagai berkata, PERKESO juga akan menyediakan perkhidmatan saringan kesihatan percuma untuk pekerja swasta berumur 40 tahun ke atas secara bergerak ke premis majikan dan memperluaskan skim perlindungan kepada semua 6.5 juta pekerja tanpa mengira peringkat gaji.
"Ketika ini cuti tanpa rekod tiga hari hanya dibenarkan untuk kes kematian suami atau isteri, ibu bapa atau anak kakitangan awam, tetapi kini ia diperluaskan kepada ibu bapa mentua, ibu bapa angkat dan anak angkat," katanya berucap pada majlis perhimpunan Hari Pekerja 2015 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) sebentar tadi.
Terdahulu, dalam perutusan sempena Hari Pekerja melalui laman Facebook beliau hari ini, Najib meluahkan penghargaan kepada semua pekerja di atas sumbangan mereka membantu negara melakar kejayaan.
Perdana Menteri turut berharap orang ramai memanfaatkan cuti panjang hujung minggu ini dengan meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.
“Sempena sambutan Hari Pekerja tahun ini, saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada semua pekerja yang telah menyumbang ke arah kejayaan Malaysia sepertimana yang kita kecapi kini.
“Saya harap semua dapat meluangkan masa berkualiti dengan ahli keluarga tersayang sempena cuti panjang hujung minggu ini. Selamat Hari Pekerja kepada semua!” - Sarawakiana
Tiga Penambahbaikan Kebajikan Pekerja - Najib
Reviewed by Salfian Nawawi
on
May 01, 2015
Rating:
No comments: