KUCHING: Dua pasangan berhadapan hukuman gantung sampai mati selepas disyaki terbabit dalam kegiatan mengedar dadah, susulan dua serbuan berasingan oleh polis pada minggu lepas.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak Superintenden Lucas Aket, sepasukan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak yang bertindak atas maklumat telah menyerbu sebuah rumah di kawasan BDC di sini kira-kira jam 10 malam pada Khamis lepas.
Serbuan itu katanya, menjurus kepada penangkapan seorang wanita dan seorang lelaki tempatan berusia dalam lingkungan awal 30-an.
“Hasil pemeriksaan, polis menemui 60 biji pil Ecstasy dengan berat kasar 18.84 gram, 360 biji pil Erimin 5 dengan berat kasar 97.60 gram dan Ketamin dengan berat kasar 8.95 gram.
“Anggaran nilai dadah yang dirampas adalah RM12,000. Polis turut menyita sebuah kereta Toyota Wish dengan nilai RM70,000 dan wang tunai RM1,103,” katanya pada sidang media di IPK Sarawak di Jalan Badruddin di sini, semalam.
Lucas berkata, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga 31 Julai ini untuk siasatan lanjut.
Manakala dalam serbuan kedua katanya, sepasukan polis JSJN Narkotik IPK Sarawak telah merampas dadah jenis ganja seberat 1,135.2 gram di sebuah rumah di kawasan Kota Samarahan pada Sabtu lepas kira-kira jam 1.39 pagi.
Susulan rampasan yang dianggarkan bernilai RM12,000 itu, polis menangkap seorang lelaki dan seorang wanita tempatan berusia dalam lingkungan 20-an.
Kedua-dua suspek juga ditahan reman selama tujuh hari sehingga 31 Julai ini untuk siasatan lanjut.
Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Lucas berkata JSJN Sarawak telah melakukan 4,018 tangkapan kes penyalahgunaan dadah dalam tempoh 1 Januari hingga 26 Julai, yang membabitkan 4,603 kes.
Daripada jumlah 4,603 kes dicatatkan itu, sebanyak 137 kes membabitkan bekalan, diikuti 887 kes memiliki dadah dan 3,579 adalah ujian air kencing.
Jenis dadah dirampas dalam tempoh itu adalah ganja dengan berat 3350.16 gram, syabu (1,631.44 kristal), ketamin (485.58 gram), Esctasy (2,854.15 gram serbuk dan 1,109 pil), Erimin 5 (1,059 biji) dan Nospan (15,159 biji).
“Sepanjang tempoh sama, sebanyak 1,656 kes telah dituduh di mahkamah dan sebanyak 601 kes berjaya diselesaikan di mahkamah.
“Hukuman penjara dikenakan adalah serendah dua bulan sehingga 18 tahun dan lima sebatan manakala hukuman denda adalah antara RM1,500 hingga RM7,000,” katanya sambil menyeru semua masyarakat bekerjasama dalam memastikan negara bebas daripada dadah. - UB
Dua Pasangan Berdepan Hukum Gantung Sampai Mati
Reviewed by uMieySurianie
on
July 28, 2015
Rating:
Reviewed by uMieySurianie
on
July 28, 2015
Rating:

No comments: