Seo Services

Dunia Semakin Moden, Tradisi 'Bertuntung' Semakin Dilupakan


"Bertuntung" ialah acara rumah kediaman masyarakat Melayu Islam di Sarawak dihiasi dengan pemasangan pelita minyak di sekeliling rumah atau lebih dikenali sebagai pelita panjut di Semenanjung.

Tradisi memasang pelita semasa bulan Ramadhan bermula pada malam tujuh likur sehingga tujuh hari pertama Syawal merupakan simbol untuk meraikan bulan yang penuh mulia ini.

Jika mengikut fahaman orang-orang tua, pelita dipasang kerana untuk memudahkan orang kampung yang ke surau untuk menunaikan solat terawih.

Apabila jalan terang ditemani cahaya pelita, mereka yang ke surau atau masjid tidak bimbang untuk pulang lewat malam sendirian.

Namun, tradisi itu kian sepi dek kerana adanya lampu elektrik yang menggantikan pelita ini.

Bagaimanapun, tradisi ini masih ada dan kekal sehingga kini.

Siapa kata, di bandar tiada yang memasang pelita? Pelita masih diterangi di bandar tetapi ia cuma beberapa rumah sahaja dan boleh dikira dengan jari.

Namun, berbeza di kampung kerana tradisi ini masih diteruskan oleh kebanyakan penduduk kampung.

Orang lama memang menjadikan tradisi bertuntung sebagai aktiviti wajib sepanjang bulan puasa dengan ia menjadi imej kepada perkampungan Melayu yang terkenal dengan adat budaya dan semangat gotong-royong yang erat.

Sungguhpun terpaksa mengeluarkan perbelanjaan untuk membeli minyak tanah dan pelita, semua itu tidak menjadi halangan kerana apa yang penting tradisi ini harus diperkenalkan sehingga habis keturunan.

Malahan, ada beberapa kampung yang menjadikan tradisi ini sebagai satu pertandingan.

Penyertaan oleh penduduk kampung biasanya amat baik sekali kerana mereka gigih dan saling bergotong-royong untuk mempamerkan rekaan pelita yang paling cantik.

Bahkan, ia menjadi perhatian warga asing yang berkunjung ke situ dan sekaligus menaikkan imej kampung ke mata masyarakat. - Sarawakiana
Dunia Semakin Moden, Tradisi 'Bertuntung' Semakin Dilupakan Dunia Semakin Moden, Tradisi 'Bertuntung' Semakin Dilupakan Reviewed by Unknown on July 09, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.