Seo Services

#memoriMH17: Tragedi Hitam Perbaiki SOP, Keluarga Pasrah Terima Takdir

WARTAWAN BH, Hardi Effendi Yaacob melihat serpihin bahagian pesawat MH17 yang terhempas di Grabovo. - Foto Khairul Ghazali

Debaran berdepan tentera pemisah antara pengalaman getir tidak dapat dilupakan penulis bersama jurugambar, Khairul Ghazali ketika memasuki lokasi utama tragedi pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17, di Donestk, timur Ukraine, 22 Julai tahun lalu.

Paling meresahkan pastinya ketika melihat sendiri sekumpulan anggota tentera pemisah bersenjatakan rifel AK-47 menembak sebuah lori barang yang enggan berhenti untuk pemeriksaan keselamatan di pos kawalan terakhir yang memisahkan sempadan Ukraine-Donestk.

Belum reda penat meredah perjalanan kira-kira 700 kilometer selama 12 jam dari Kiev ke wilayah itu, kami ditahan hampir sejam oleh tentera pemisah untuk soal siasat kerana melanggar perintah berkurung susulan peperangan dengan tentera Ukraine.

Bagaimanapun, selepas memperkenalkan diri dan menyatakan tujuan sebenar ke wilayah bergolak itu, kami dibebaskan Kumpulan Pemisah Donestk (DSG), namun diingatkan supaya sentiasa berwaspada kerana ramai penembak hendap berada di pusat bandar bagi mengekang kemaraan musuh.

Penulis memasuki wilayah bergolak itu sehari selepas 282 beg mayat dan 87 bungkusan plastik mengandungi cebisan mayat bersama dua kotak hitam MH17 berjaya dibawa keluar dari lokasi nahas.

Kesayuan menyelubungi sebaik memasuki lokasi utama nahas, Grabovo, kira-kira setengah jam perjalanan dari pusat bandar. Sukar menahan sebak melihat barang permainan, termasuk anak patung berselerakan. Terbit sayu mengenang nasib kanak-kanak tidak berdosa yang turut menjadi mangsa keadaan.

Seorang gembala lembu yang ditemui di tempat kejadian memberitahu, kebanyakan mayat kanak-kanak ditemui masih memakai tali pinggang keselamatan di kerusi penumpang, namun ada juga berkeadaan tidak sempurna.

"Langit cerah ketika kejadian, MH17 berkecai di udara dan serpihan pesawat serta penumpang jatuh bagaikan hujan meteor. Suasana ketika itu cukup menakutkan," katanya yang memperkenalkan diri sebagai Eryna.

Seorang jirannya turut trauma apabila mayat penumpang menembusi bumbung sebelum jatuh ke ruang tamu rumahnya, namun wanita terbabit enggan ditemu bual kerana masih ketakutan pada waktu itu.
MH17 berkecai di udara dan serpihan pesawat serta penumpang jatuh bagaikan hujan meteor. - Foto Khairul Ghazali

Gravobo adalah sebahagian daripada enam lokasi nahas MH17 di wilayah bergolak itu yang merangkumi keluasan enam kilometer radius.

Di lokasi utama nahas, penulis menemui bagasi milik jurutera petroleum, Tambi Jiee, 49 dan isterinya, Ariza Ghazalee, 47, bersama empat anak mereka - Mohd Afif, 19; Mohd Afzal, 17; Marsha Azmeena, 15; serta Mohd Afruz, 13, yang berasal dari Kuching, Sarawak.

Keluarga Tambi bukan sahaja dalam perjalanan pulang bagi menyambut Aidilfitri, malah berpindah tugas dari Astana, Kazakhstan ke Kuala Lumpur. Sayangnya, ia adalah perjalanan terakhir mereka ke tanah air tercinta.

Penulis tidak begitu mengenali Tambi dan keluarganya, namun difahamkan mereka pernah tinggal berjiran dengan keluarga penjaga dua anak perempuan penulis di Petra Jaya, Sarawak.

PENULIS menemui bagasi milik keluarga jurutera petroleum, Tambi Jiee. - Foto Khairul Ghazali

Tanggal 1 Syawal ini genap setahun tragedi MH17. Apa yang pasti, tragedi itu mencatat sejarah hitam dalam industri penerbangan dunia, malah menjadi titik tolak kepada perubahan prosedur operasi standard (SOP), termasuk pengenalan beberapa laluan baharu menghubungkan Asia dan Eropah bagi mengelak ruang udara zon perang dan wilayah konflik.

Bagi keluarga Allahyarham Tambi, hasil siasatan tragedi tidak lagi menjadi.

Abangnya, Drahman Jiee, 60, berkata walaupun amat sedih dengan kehilangan Tambi bersama isteri dan empat anak mereka dalam kejadian itu, keluarga mereka pasrah menerima ketentuan takdir.

Beliau berkata, apa yang paling penting ialah hasrat mengumpulkan semua jenazah enam sekeluarga itu, seterusnya mengebumikan mereka di satu tempat iaitu Tanah Perkuburan Islam Samariang, Petra Jaya, sudah tercapai.

JURUTERA petroleum, Tambi Jiee, 49 (kanan) dan isterinya, Ariza Ghazalee, 47, bersama empat anak mereka - Mohd Afif, 19; Mohd Afzal, 17; Marsha Azmeena, 15; serta Mohd Afruz, 13.

"Bagi saya, ia (hasil siasatan) tidak penting lagi kerana Tambi bersama isteri dan anak-anak mereka sudah bersatu di tempat lain sekarang. Beberapa bulan lalu, kami ada menerima kemas kini hasil siasatan daripada pihak berkuasa, namun kini kami tidak lagi menerima sebarang maklumat mengenainya (siasatan)," katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Drahman berkata, maklumat terbaru yang diterima beberapa minggu lalu hanya meminta waris mengenal pasti beberapa barangan peribadi milik mangsa yang ditemui di lokasi kejadian itu untuk dituntut.

Beliau juga enggan mengulas lanjut bagaimana situasi ahli keluarga mereka selepas setahun tragedi itu, namun berterima kasih kepada semua pihak yang menguruskan proses membawa balik jenazah enam beranak itu setahun lalu.

SEPUPU mangsa, Asfarina Kartika, menunjukkan gambar keluarga Tambi Jiee, mangsa pesawat MH17 di Marriot, Putrajaya pada 18 Julai tahun lalu. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

"Selepas setahun berlalu, memang agar sukar bagi kami kerana kehilangan enam ahli keluarga serentak. Kami tidak mahu bercakap banyak mengenainya. Namun, kami amat menghargai semua pihak yang banyak membantu kami memudahkan pelbagai urusan selepas kejadian menimpa," katanya.

Jenazah Ariza dan anak sulungnya Afif adalah antara kumpulan pertama mayat yang dibawa pulang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang di sini pada 22 Ogos tahun lalu sempena Hari Perkabungan Negara, diikuti oleh jenazah Tambi pada 9 September.

Jenazah Afzal dan Marsha Azmeena disemadikan pada 19 September manakala anak bongsu pasangan itu, Afruz dikebumikan pada 3 Oktober. - BH

WARIS keluarga tidak dapat menahan kesedihan ketika jenazah Tambi Jiee tiba di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuching. - Foto BERNAMA
#memoriMH17: Tragedi Hitam Perbaiki SOP, Keluarga Pasrah Terima Takdir #memoriMH17: Tragedi Hitam Perbaiki SOP, Keluarga Pasrah Terima Takdir Reviewed by Salfian Nawawi on July 15, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.