Seo Services

Meragut Demi Raya


KUCHING: Gara-gara terdesak mengumpul duit lebih untuk menyambut perayaan akan datang, dua beradik sanggup meragut rantai seorang wanita di Jalan Ang Cheng Ho, di sini semalam.

Bagaimanapun, tindakan mereka yang berusia 28 dan 31 tahun dari Kampung Tabuan Melayu itu hanya mengundang padah apabila mereka berjaya ditangkap orang awam dalam kejadian sekitar jam 3.40 petang.

Menurut saksi, kedua-dua suspek dilihat berkeliaran di kawasan berkenaan dengan menaiki sebuah motosikal sebelum si abang yang membonceng bertindak meragut rantai wanita terbabit.

“Mangsa yang terkejut kemudian menjerit meminta tolong menyebabkan beberapa orang awam yang berada di sekitar kawasan tersebut terus mengejar kedua-dua suspek sehingga mereka terbabas.

“Ekoran kemalangan tersebut, suspek yang mengalami kecederaan berjaya ditangkap sebelum diserahkan kepada pihak polis,” kata saksi di tempat kejadian.

Suspek semasa ditahan dilihat beberapa kali meminta maaf dan memberitahu mereka terdesak kerana amat memerlukan wang untuk menyambut perayaan yang akan datang.

Tambahan juga, kedua-dua suspek tidak mempunyai pekerjaan tetap dan sudah berkahwin.

Beberapa anggota daripada cawangan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Kuching yang tiba di tempat kejadian telah mengenal pasti seorang daripada suspek sebagai orang yang dikehendaki polis, juga atas kesalahan meragut.

Kedua-dua suspek kemudian dibawa ke Pusat Sehenti (One Stop) IPD Kuching untuk tindakan lanjut dan laporan polis berhubung kejadian juga telah dibuat oleh mangsa.

Sementara dalam kejadian berasingan, seorang pelajar hilang seutas rantai leher bernilai mencecah RM3,000 selepas dia diragut di sebuah kedai makan di Pusat Komersial Stutong, di sini malam kelmarin.

Mangsa yang berusia 23 tahun dan berasal dari Matang semasa kejadian dikatakan sedang makan apabila dia didatangi seorang lelaki dari arah belakang yang kemudian terus meragut rantai lehernya.

“Mangsa tidak sempat berbuat apa-apa kerana kejadian tersebut berlaku dengan pantas dan suspek berjaya melarikan diri dari tempat kejadian dengan menunggang sebuah motosikal,”kata sumber.

Laporan polis berhubung kejadian telah dibuat oleh mangsa di balai polis berhampiran dan siasatan lanjut masih dijalankan. - UB
Meragut Demi Raya Meragut Demi Raya Reviewed by Salfian Nawawi on July 16, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.