Seo Services

MH17: Waris Tambi Jiee Dalam Proses Akhir Selesaikan Urusan Pampasan


KUCHING: Keluarga Tambi Jiee, yang terkorban dalam tragedi pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 pada 17 Julai tahun lalu, kini dalam proses mendapatkan surat kebenaran mentadbir bagi urusan menerima pampasan akibat insiden itu. 

Pesawat itu yang ditembak jatuh dekat sempadan Ukraine-Russia turut mengorbankan isteri Tambi, Ariza Ghazalee, 46 dan empat orang anak mereka, Muhammad Afif, 19; Muhammad Afzal, 17; Marsha Azmeena, 15 dan Muhammad Afruz, 13. Drahman, abang sulung Tambi berkata, pampasan awal daripada MAS sudah diterima, namun memerlukan surat berkenaan untuk urusan pampasan seterusnya.

"MAS memerlukan surat kebenaran mentadbir selain beberapa dokumen berkaitan dengan arwah.

Kebanyakan dokumen sudah ada, cuma tunggu surat kebenaran mentadbir ini daripada Pejabat Daerah Miri.

"Dijangka surat berkenaan akan diperoleh bulan ini juga (Julai).

Apabila ada nanti, Insya-Allah saya akan berhubung dengan pihak peguam MAS," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Beliau ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Peringkat Sarawak di Majma' Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Ditanya cadangan cara pampasan itu digunakan, Drahman berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama waris lain.

Drahman berkata, keluarga mereka masih bersedih dengan insiden yang berlaku, namun reda dengan ketentuan Allah.

Pada 11 Julai lalu, lapan waris keluarga berkenaan turut menyertai majlis memperingati ulang tahun pertama tragedi MH17 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - BERNAMA

MH17: Waris Tambi Jiee Dalam Proses Akhir Selesaikan Urusan Pampasan MH17: Waris Tambi Jiee Dalam Proses Akhir Selesaikan Urusan Pampasan Reviewed by uMieySurianie on July 20, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.