Seo Services

PAC Puas Hati Laporan Interim Audit 1MDB


Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berpuas hati dengan laporan interim pengauditan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) yang dise­rahkan oleh Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang hari ini.

Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, laporan yang disediakan oleh Ketua Audit Negara itu amat teliti, terperinci dan mendalam.

“PAC amat berpuas hati secara menyeluruh kerana laporan ini dilihat dilakukan secara telus.

“Laporan awal ini meliputi peng­auditan mengenai penyata kewangan 2010 hingga 2014 termasuk pelaburan dan semua anak syarikat 1MDB,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat PAC Penggal Kedua antara Jabatan Audit Negara di Blok Bangunan Sementara Parlimen.

Pada 4 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan Ketua Audit Negara untuk mengesahkan secara bebas akaun 1MDB.

Jelas Nur Jazlan, laporan yang memakan masa tiga bulan untuk di­siapkan itu memberi fokus utama terhadap kerja pengauditan berdasarkan empat komponen.

“Empat komponen itu melibatkan jumlah jaminan pinjaman oleh kerajaan kepada 1MDB, aset kumpulan 1MDB, pembiayaan dan penggunaan dana serta kajian pe­nyata kewangan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Nur Jazlan memberitahu, laporan berkenaan turut menyenaraikan analisis kewangan dan pelaburan syarikat milik penuh kerajaan itu.

“Analisis itu melibatkan pelaburan seperti syarikat PetroSaudi, bagaimanapun pelaburan berhubung hartanah dan sektor tenaga masih berjalan yang akan dimasukkan dalam laporan akhir.

“Laporan akhir ini kita jangkakan akan selesai pada hujung tahun ini,” katanya.

Tambahnya lagi, laporan inte­rim itu turut menyentuh mengenai maklumat kronologi penubuhan 1MDB sejak awal.

“Bermula dengan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang diambil alih pada 31 Julai 2009 selepas mendapat persetujuan Kabinet dan ditukarkan nama kepada 1MDB,” jelasnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee yang turut menganggotai PAC ketika ditemui menyifatkan setakat ini laporan awal Ketua Audit Negara itu boleh dipuji.

“Tetapi 1MDB perlu menyerahkan segala dokumen yang berkaitan bagi memastikan siasatan segera dapat diselesaikan,” katanya.

Utusan
PAC Puas Hati Laporan Interim Audit 1MDB PAC Puas Hati Laporan Interim Audit 1MDB Reviewed by Unknown on July 10, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.