KUALA LUMPUR: Sebuah pasukan petugas khas dianggotai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia dan Bank Negara Malaysia, sudah pun memulakan siasatan berhubung dakwaan penyaluran dana berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Perkara itu dimaklumkan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail yang mengesahkan beliau sudah pun menerima dokumen berkaitan 1MDB termasuk dakwaan penyaluran dana ke akaun milik Najib daripada pasukan penyiasat itu.
"Pasukan ini telah memperoleh beberapa dokumen yang kemudiannya dikemukakan kepada saya untuk semakan.
"Saya sudah meneliti dan menyemak kesemua dokumen dikemukakan, dan seterusnya sudah memberi nasihat dan panduan kepada Pasukan Petugas Khas ini bagi mengambil tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan petang ini.
Abdul Ghani berkata, pasukan petugas khas itu sudah menghantar pasukan siasatan ke syarikat SRC International Sdn Bhd, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd untuk mengadakan serbuan dan sudah memperoleh dokumen dari ketiga-tiga premis terbabit.
"Susulan semakan dan analisis yang dibuat ke atas dokumen-dokumen yang diperoleh hasil serbuan itu, saya juga sudah memberi nasihat dan panduan susulan kepada pasukan petugas khas. "Siasatan akan memfokus setiap aspek yang dibangkitkan.
Saya yakin keanggotaan pelbagai agensi akan membolehkan siasatan dijalankan dengan lebih profesional dan terperinci," katanya. Beliau juga berharap semua pihak memberi kerjasama bagi membolehkan pasukan petugas khas ini menjalankan siasatan dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan orang ramai. - BH
Pasukan Petugas Khas Siasat Dakwaan Penyaluran Dana 1MDB - Peguam Negara
Reviewed by Salfian Nawawi
on
July 04, 2015
Rating:
Reviewed by Salfian Nawawi
on
July 04, 2015
Rating:

No comments: