KUCHING: Satu pasukan merangkumi pakar-pakar dalam industri penerbangan dari Sarawak dan Sabah sedang dikumpul bagi memulakan rundingan bersama Khazanah Nasional Berhad (Khazanah Nasional) dalam usaha memperbaiki jaringan udara di kedua-dua negeri tersebut.
Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, kerajaan persekutuan juga telah memberi lampu hijau untuk berunding dengan syarikat tersebut susulan cadangan untuk mengambil alih operasi syarikat penerbangan serantau di Malaysia Timur.
“Kita kini dalam proses mengumpulkan pasukan yang merangkumi pakar-pakar dalam industri penerbangan dari Sabah dan Sarawak untuk berunding dengan Khazanah,” katanya ketika ditemui pemberita ketika sambutan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Plaza Merdeka di sini, semalam.
Abang Johari memberitahu, rundingan itu akan dimulakan tidak lama lagi.
Difahamkan, syarikat penerbangan itu kelak bakal dikendalikan oleh kerajaan negeri dan kerajaan Sabah berasaskan 50-50.
Kerajaan kedua-dua negeri sebelum ini telah menghantar permohonan dan sedang menunggu persetujuan daripada Khazanah Nasional bagi membolehkan penstrukturan semula penerbangan semasa dilakukan sendiri oleh kedua-dua negeri.
Abang Johari dalam ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri pada 28 April lalu memberitahu, kerajaan negeri dan Sabah bercadang untuk mengambil alih MASwings bagi memperbaiki jaringan udara serta memperkasakan hubungan udara ke kawasan pedalaman di kedua-dua negeri.
Manakala pada 11 Julai lalu, beliau memberitahu kerajaan persekutuan memberi lampu hijau untuk meneruskan rundingan dengan Khazanah Nasional.
“Kami baharu dapat surat daripada kerajaan pusat untuk kita terus berunding untuk pengambilalihan MASwings kerana banyak perkara berkaitan perlu kami bincangkan,” katanya yang dipetik sebagai berkata. - UB
Sabah, Sarawak Runding Ambil Alih MASwings
Reviewed by uMieySurianie
on
July 27, 2015
Rating:
No comments: