![]() |
| gambar hiasan |
KUALA LUMPUR: Jabatan Penjara menetapkan 25 dan 26 Sept ini sebagai tarikh lawatan keluarga penghuni sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini.
Menurut Timbalan Pengarah Dasar Kepenjaraan Jabatan Penjara Supri Hashim, tarikh itu ditetapkan bagi semua institusi penjara, pusat pemulihan akhlak dan Sekolah Henry Gurney, dengan semua lawatan di institusi penjara ditutup pada hari pertama perayaan.
"Keutamaan lawatan pada hari berkenaan diberi kepada penghuni yang beragama Islam dan Jabatan Penjara memohon kerjasama pelawat supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan iaitu waktu lawatan yang bermula dari 8.15 pagi hingga 4.15 petang," katanya dalam satu kenyataan di sini, Khamis.
Umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada 24 Sept ini.
Supri juga berkata pelawat diminta membawa kad lawatan serta kad pengenalan bagi memudahkan urusan dan mereka dilarang membawa makanan dari luar.
Beliau juga berkata pelawat tidak digalakkan memberi wang kepada penghuni memandangkan semua kemudahan asas telah disediakan oleh Jabatan Penjara.
"Sekiranya pelawat ingin memberi wang kepada penghuni atas urusan tertentu, misalnya untuk bayaran yuran peperiksaan, mereka diminta mendapatkan resit rasmi sebagai akuan penerimaan," katanya.
Katanya pihak penjara juga berhak membuat pemeriksaan fizikal ketika pelawat masuk dan keluar penjara tertakluk kepada Akta dan Peraturan Penjara.
-- BERNAMA
Lawatan Penjara Sempena Hari Raya Aidiladha Pada 25, 26 Sept
Reviewed by Unknown
on
September 17, 2015
Rating:
Reviewed by Unknown
on
September 17, 2015
Rating:

No comments: